Ahad,31 Ogos 2014

Moustafa bangga jadi ‘Popeye’

BOSTON: Seorang ahli bina badan kelahiran Mesir diiktiraf memiliki bisep terbesar di dunia dengan ukuran 78.7 sentimeter, lapor media semalam.

Moustafa Ismail, 24, menghabiskan masa selama 10 tahun untuk berlatih mengangkat berat dua kali sehari bagi membentuk otot di pangkal lengannya.

Disiplin itu membolehkan Moustafa memiliki bisep yang sama besarnya dengan ukur lilit pinggang lelaki dewasa.

Walaupun fizikalnya seperti watak kartun Popeya, Moustafa mengaku dia tidak gemar sayur bayam, sebaliknya dia memakan sehingga 1.5 kilogram ayam, 0.5 kilogram daging atau ikan dan empat cawan almond bersama sembilan liter air dan tiga liter bancuhan protein.


Disebabkan komited dengan aktiviti bina badan, Moustafa membawa semua ahli keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan dia menggunakan peralatan lebih baik.


Kata Moustafa, ramai mendakwa mereka terkenang kepada Popeye setiap kali melihatnya.

“Saya hanya ketawa dan berpendapat, lengan saya lebih besar daripada Popeye,” katanya.

Moustafa berkata, dia memulakan aktiviti bina badan 10 tahun lalu dalam usahanya mengekalkan kecergasan.

Selepas sering mengunjungi gimnasium, katanya, dia menerima banyak pujian mengenai bisepnya.

“Justeru, saya menumpukan aktiviti latihan kepada bisep dan membentuknya menjadi lebih besar,” katanya.

Lima tahun lalu Moustafa gagal dipilih menyertai pasukan bina badan Mesir.

Kegagalan itu mendorong dia berhijrah ke AS.

Walaupun mengakui mengambil bancuhan protein untuk membentuk badannya, Moustafa berkata, keupayaannya itu juga dipengaruhi genetik bapanya - seorang ahli gusti Mesir.

Setiap hari, Moustafa berlatih dari jam 5 pagi hingga 8 pagi dengan tumpuan diberikan kekuatan jantung serta pembentukan fizikal.

Jika tidak berada di gimnasium, Moustafa menguruskan dua stesen minyak miliknya di Massachusetts.

Kata Moustafa, latihan fizikal membolehkan dia fokus dalam setiap apa yang dilakukan.

“Pada masa sama, anda boleh melihat bagaimana fizikal anda berubah,” katanya.

Bisep Moustafa kini disahkan sebagai paling besar dan namanya muncul dalam Buku Rekod Dunia Guinness 2013 yang dilancarkan di London, semalam. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13
`