Selasa,29 Julai 2014

Nafas baru JKP

Program Jom Ke Panggung (JKP) yang melabuhkan tirainya November lalu kembali me nemui penonton dengan penampilan lebih mantap bagi menghargai sambutan menggalakkan diberikan penonton serta penggiat industri hiburan.

JKP adalah satu-satunya rancangan televisyen tempatan yang memberi fokus secara keseluruhan kepada perkembangan industri filem tempatan di samping menyelitkan berita antarabangsa dan akan ditayangkan setiap Ahad bermula esok jam 10 malam di TV2.

Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Datuk Md Afendi Hamdan berkata, peluang dan kerjasama harus diberikan kepada program seumpama ini kerana FINAS sentiasa memandang serius dan menyokong apa saja aktiviti mahupun rancangan televisyen demi memartabat dan memajukan industri filem tempatan.

“Ini selari dengan hasrat kerajaan memajukan industri filem. Program televisyen seperti JKP ini bukti sokongan terhadap dana yang diperuntukkan kerajaan untuk industri perfileman tanah air setiap tahun.


“Berbeza dengan dua musim sebelum ini, JKP kali ini menjanjikan nafas baru dengan lebih bertenaga dan padat dari segi pengisian maklumatnya. Atas persetujuan antara RTM dengan Fantasy Films Sdn Bhd, tiga segmen baru bakal diperkenalkan iaitu Legasi Panggung, Fakta Panggung dan Selidik Panggung,” katanya.


Pengarah Fantasy Films Sdn Bhd, Jasman Kammin berkata, idea segmen Legasi Panggung tercetus atas kesedaran bahawa ramai pelakon, pengarah dan penerbit yang bertumpu kepada industri filem sebagai kerjaya, meneruskan legasi masing-masing dengan memperkenalkan ahli keluarga bagi bersama-sama memartabatkan industri yang di ceburi.

“Contoh terdekat ialah keluarga penerbit dan pelakon, Datuk Yusof Haslam yang legasinya diteruskan anak-anaknya, Shamsul dan Muhamad Syafiq. Allahyarham seniman Hussein Abu Hassan dan anaknya, Faizal yang baru-baru ini meraih gelaran Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 dan banyak lagi,” katanya.

Fakta Panggung pula membongkar informasi yang jarang diketahui umum seperti panggung wayang tertua di Malaysia, manakala segmen Selidik Panggung mengupas secara mendalam isu-isu terkini yang melanda industri perfileman tempatan. Pendekatannya lebih intelektual, namun ringkas dan padat.

Pada masa sama, JKP mengekalkan segmen-segmen seperti Pecah Panggung, Akan Ke Panggung, Projektor, Gosip Panggung, Buletin Panggung dan Anak Wayang pada musim ini.

Selaras penambahan kandungan baru, JKP turut tampil dengan wajah dan imej baru. Grafik berwarna keemasan dan kelabu menyerlahkan kematangan yang selari dengan identiti dan kehendak penonton. Gabungan grafik tiga dimensi (3D) pula menyokong persembahan JKP yang pantas dan padat.

Sementara itu, Pengarah FINAS, Raja Rozaimi Raja Dalnish Shah yang bakal tampil dalam episod pertama JKP musim 2013 memaklumkan, bukan hanya pelakon dan pengarah yang legasinya dipaparkan dalam program ini, malah JKP juga harus diberikan peluang dan ruang berterusan dalam mencipta legasinya tersendiri demi kemajuan industri filem tempatan.

Selain itu, ia masih mengekalkan pengacara dua musim terdahulu, Nasarudin Habibur Rahman atau lebih dikenali sebagai Naz. Pencapaian JKP musim pertama dan kedua agak cemerlang apabila mencatat rating hampir satu juta penonton.

Justeru, Fantasy Films Sdn Bhd sekali lagi diberi kepercayaan meneruskan kesinambungan JKP bagi menghasilkan 26 episod seterusnya untuk siaran tahun ini.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
`