Rabu,23 April 2014

Nasi dagang Kak Pah

Teks dan gambar Nazdy Harun

Dalam kalangan penggemar nasi dagang di Terengganu, pasti ramai tahu Sudut Selera Kak Pah yang menyediakan hidangan enak itu bersama gulai ikan tongkol.

Populariti nasi dagang Kak Pah membuatkan penulis ingin tahu mengenai keenakkan hidangan itu di Medan Selera Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Dari tempat letak kereta, penulis melihat pengunjung semakin ramai beratur untuk menikmati keenakan nasi dagang itu.

Malah, penulis terpaksa beratur kerana tidak mahu ketinggalan menikmati hidangan itu apatah lagi aroma yang menusuk hidung cukup enak.


Selepas menikmati hidangan itu, penulis membuat kesimpulan, nasi dagang Kak Pah memang enak, tidak hairan ia menjadi bualan orang di sekitar Kuala Terengganu.


Sudut Selera Kak Pah diusahakan Khatipah Sulong, sejak 17 tahun lalu dengan menu utama, nasi dagang gulai ikan tongkol.

Jika sebelum ini nasi dagang hanya menjadi makanan masyarakat Melayu, kini ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Walaupun aroma dan cita rasa nasi dagang lebih menepati selera orang Melayu, kepelbagaian rempah yang dicampur ke dalam gulai ikan tongkol menarik minat kaum lain untuk sama menikmatinya.

“Adunan rempah ratus mengikut sukatan betul selain dimasak dengan sempurna mampu membangkitkan aroma dan rasa gulai ikan tongkol yang lazat.

“Resipi warisan bonda turun temurun yang dihasilkan menyebabkan rasanya berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain,” kata Khatipah.

Setiap hari, Khatipah perlu memasak 40 kilogram (kg) beras untuk dijadikan nasi dagang dan 50kg ikan tongkol dimasak gulai.

Dibuka setiap hari dari jam 7.30 pagi hingga 11 pagi, pengunjung dapat menikmati hidangan nasi dagang dengan harga RM3.50 sepinggan.

Selain nasi dagang berlauk, Sudut Selera Kak Pah turut menjual nasi lemak serta telur mata lembu.

Kemasyhuran nasi dagang Terengganu membawa Khatipah ke Dapur Malaysia di London, dua tahun lalu bagi melakukan pertunjukan masakan nasi dagang.

Selain menerima tempahan pada musim perayaan, pemilik Sudut Selera Kak Pah juga banyak menerima tempahan daripada pemilik hotel di negeri ini.

Justeru, bagi anda peng-gemar nasi dagang berlauk gulai ikan tongkol dan berada di sekitar Kuala Terengganu, usah lepaskan peluang merasai keenakan nasi dagang Kak Pah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28
`