Khamis,28 Ogos 2014

PKPKL sedia beri perlindungan

KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) bersedia memberi bantuan berbentuk perlindungan kepada seorang wanita dan tiga anaknya di Sabak Bernam yang hidup tidak ubah seperti masyarakat nomad selepas diburu along.

Presidennya, Shamsudin Mohamad Fauzi berkata, pihaknya mahu mereka menghubungi PKPKL di talian 03-91015096 secepat mungkin bagi urusan bantuan.


“Lebih setahun persatuan ini beroperasi dan kami memang sentiasa terbuka membantu mangsa yang dalam kesusahan seperti dilema dihadapi wanita ini. “PKPKL bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam soal melindungi pengguna, maka wanita terbabit juga akan kami berikan bantuan sewajarnya.

“Kami minta dia hubungi segera untuk membolehkan kami memanjangkan kesnya ke pengetahuan JSJK dan dia serta anaknya dilindungi di tempat yang lebih selamat,” katanya.


Shamsudin berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan keadilan bagi mangsa dan memastikan individu bertanggungjawab menerima hukuman sewajarnya. Akhbar ini Jumaat lalu melaporkan Zarina berusia 30-an menjadi buruan along dan menerima SMS berbaur ugutan berikutan tindakan bekas suami yang meminjam wang daripada ‘lintah darat’ berkenaan, namun gagal menjelaskannya.


Dia dan tiga anaknya, terpaksa hidup berpindah-randah kerana bimbangkan keselamatan diri selain sudah membuat lebih 10 laporan polis dengan terbaru di Balai Polis Sabak Bernam, namun tiada maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/09
`