Jumaat,03 Oktober 2014

Pakar Sakit KronikSuntikan lebih mujarab

Oleh DR NIZAR ABDUL JALIL

Kajian kes
SEORANG suri rumah berusia 65 tahun mengalami sakit pinggang kronik selama enam bulan. Sakit belakangnya dirasakan menjalar turun ke kaki ketika dia berjalan beberapa meter.


Sakit pada kakinya dirasai seolah-olah mencucuk-cucuk dan kadangkala macam renjatan elektrik dan kebas. Bila sakit bertambah kuat, dia akan duduk rehat sebentar untuk melegakan kesakitan pada kakinya.

Dia terpaksa duduk rehat beberapa kali walaupun untuk berjalan sejauh 50 meter. Ini menyebabkan dia tidak boleh berjalan jauh. Dia berrasa selesa dalam posisi membongkok bila berjalan kerana kesakitan akan lebih teruk dalam posisi belakang yang menegak.


Malah dia juga tidak boleh berbaring sambil meluruskan kaki ketika tidur di katil. Dia hanya boleh tidur pada malam hari dalam posisi duduk di kerusi sambil memeluk bantal.


Hasil Siasatan MRI di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menunjukkan dia mengalami penyakit tulang belakang yang dikenali sebagai stenosis spina. Memandangkan beliau memilih rawatan tanpa pembedahan sebagai keutamaan, rawatan epiduroplasti dilakukan.

Dua hari selepas prosedur dilakukan, dia berasa kelegaan yang ketara daripada sakitnya sebelum ini. Kini dia boleh bergerak bebas tanpa sekatan.

Malangnya, selepas tiga bulan, sakitnya kembali menyerang. Maka pesakit ini dipanggil semula ke HUSM lalu menjalani rawatan pengecutan cakera kaedah radiofrekuensi intradiskal. Rawatan suntikan ini adalah rawatan pilihan berbanding kaedah pembedahan.

Keesokan harinya dia boleh berjalan jauh tanpa sakit di kaki lagi. Dia sangat gembira kerana boleh melakukan banyak kerja yang tertangguh sebelum ini.

Apakah penyakit stenosis spina?

Sejenis sakit belakang yang menjalar turun ke kaki seakan-akan sakit cakera tergelincir tapi berbeza pada beberapa aspek. Ia dikategorikan jenis sakit saraf kerana kualiti sakitnya seperti mencucuk, renjatan elektrik, kebas, kejang, panas dan sebagainya.

Ia merujuk kepada masalah penyempitan di saluran tengah tulang belakang, di mana saraf tunjang mengalami risiko himpitan secara mekanikal.

Himpitan pada saraf tulang belakang disebabkan proses penuaan, di mana tisu cakera, tulang, sendi faset dan ligamen pada dinding saluran tulang belakang tumbuh menebal lalu menyempitkan saluran tulang belakang.

Dalam kebanyakan kes, himpitan berikutan cakera tergelincir masih menjadi faktor utama. Selain itu, himpitan boleh berlaku pada lubang sisi (foramen) tulang belakang, tempat di mana akar saraf mula keluar daripada saraf tunjang.

Stenosis spina adalah penyakit disebabkan proses penuaan pada tulang belakang. Oleh itu, ia hanya berlaku pada orang berusia lebih 40 tahun.

Bagaimanapun, bagi orang muda, masalah itu boleh terjadi jika mereka cedera pada tulang belakang. Selain daripada itu, mereka yang lahir dengan laluan tulang belakang yang sempit berisiko berdepan stenosis spina.

Apakah perbezaan antara penyakit stenosis spina dan cakera tergelincir?

1. Stenosis spina selalunya berlaku pada orang sudah berusia (40 ke atas) manakala cakera tergelincir pada orang lebih muda.

2. Pesakit stenosis spina berasa sakit menurun ke kaki (siatika) apabila pesakit mula berjalan atau posisi menegak (turun tangga). Manakala di kalangan penghidap cakera tergelincir, siatika akan muncul apabila mengangkat objek berat, batuk, bersin dan juga berjalan.

3. Pesakit yang mengalami stenosis spina akan rasa lega jika duduk berehat atau dalam posisi membongkok. Pesakit cakera tergelincir pula akan berasa lega apabila berbaring atau berdiri tegak.

Rawatan tanpa pembedahan yang berkesan

Kebanyakan pesakit stenosis spina dirawat dengan kaedah rawatan konservatif (bukan pembedahan). Ini termasuk pengambilan ubat- ubatan, senaman yang khusus dan/atau terapi fizikal (fisioterapi) dan kaedah suntikan.

Rawatan epiduroplasti (baik pulih ruang epidural) dan rawatan pengecutan cakera kaedah radiofrekuensi intradiskal adalah rawatan cara suntikan paling mujarab sehingga kini.

Kajian oleh Unit Rawatan Sakit Kronik HUSM mendapati 70 peratus daripada pesakit stenosis spina sembuh selepas menjalani rawatan pengecutan cakera kaedah radiofrekuensi intradiskal.

Pesakit dinasihatkan mencuba kaedah ini sebelum bersetuju menjalani pembedahan sebagai pilihan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/14

Artikel Lain

`