Rabu,01 Oktober 2014

Pamer 90 karya pelukis

Oleh Siti Zarinah Sahib

BENARKAH hanya jauhari mengenal manikam? Jika benar, apa ada pada sekeping lukisan yang nilainya mencecah ratusan ribu ringgit sedangkan lukisan itu hanyalah calitan abstrak berwarna pada sekeping kanvas yang sukar ditafsirkan maknanya.

Tentu saja setiap orang melahirkan pendapat berbeza. Ini kerana seni adalah subjektif dan mereka yang memahami seni mengetahui makna di sebalik lukisan dan nilainya.

Jika tidak masakan ada yang sanggup membeli sebuah lukisan berharga RM100,000 ke atas malah ada yang mencecah jutaan ringgit.

Ketika menyaksikan Pameran Permata Malaysia di ruang legar KL Lifestyle Art Space (KLAS), Tropicana Mall Petaling Jaya, mata bagai terpegun menatap lakaran abstrak di atas kertas kanvas berukuran 76 sentimeter (sm) x 183 sm menggunakan lukisan akrilik hijau, ungu dan kuning.


Hasil karya pelukis terkenal Datuk Syed Ahmad Jamal dihasilkan pada 1996 berjudul Picnic at Sonning ini dijual pada harga RM150,000. Malah hampir semua lukisan yang dipamerkan di sini bernilai ribuan ringgit berbeza mengikut ukuran dan pelukisnya.


Mungkin ada yang menggeleng kepala, tidak masuk akal. Namun itulah harga yang sanggup dibayar bagi pencinta lukisan hasil lakaran pelukis terkenal seperti Datuk Syed Ahmad Jamal, Awang Damit Ahmad, Khalil Ibrahim dan Shafurdin Habib kerana karya pelukis negara ini bukan saja bernilai di Malaysia malah di luar negara.

Menariknya, pameran ini bukan saja menghimpunkan seorang atau dua pelukis catan tersohor tetapi 30 pelukis yang digelar ‘Permata Malaysia’ bersama 90 karya daripada pelbagai latar belakang sama ada berpendidikan luar negara, tempatan atau belajar secara tidak formal dipamerkan untuk tontonan umum.

Individu bertanggungjawab menghimpunkan pelukis terkenal untuk pameran Permata Malaysia ini, Datuk Gary Thanasan, mengakui ramai orang takut memasuki galeri, beranggapan pameran lukisan hanya untuk golongan tertentu saja kerana bersifat eksklusif dan mewah.

“Justeru saya ingin membuang tanggapan masyarakat dengan mengadakan pameran di pusat beli-belah kerana sesiapa juga boleh melihatnya tanpa mengira usia dan pang­kat. Bagi saya seni itu subjektif dan berbeza mengikut setiap orang,” katanya.

Thanasan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KLAS, memberitahu nilai sebuah lukisan bergantung kepada kepakaran dan pengalaman pelukisnya.

Katanya, harganya sama seperti nilai hartanah, lebih banyak permintaan harga semakin meningkat.

Justeru menurutnya, tidak hairan apabila lukisan yang dipamerkan di sini bernilai ribuan ringgit.

“Mungkin bagi mereka yang tidak tahu menilai beranggapan harganya terlalu mahal.
“Tetapi bagi individu yang amat memahami dan mencintai setiap lakaran pelukis tersohor ini pasti akan mendapatkannya,” ujarnya.

Pameran bermula pada 1 April dan berakhir 15 Mei ini bertujuan memberi peluang kepada peminat muda yang baru berjinak-jinak mendapatkan karya artis ternama Malaysia, selain menjadi tempat bukan pengumpul seni berkenalan dengan personaliti genre terbabit.

“Oleh kerana setiap lukisan mempunyai daya tarikan tersendiri justeru, sukar bagi pengunjung menentukan latar belakang seseorang artis itu berdasarkan karya mereka jika tidak mengenali artis terbabit,” ujarnya.

Selain Datuk Syed Ahmad Jamal, antara karya sukar ditemui tetapi dipamerkan pada pameran kali ini ialah Allahyarham Mansor Ghazali bertarikh 1957 dan mendiang Datuk Chuah Thean Teng, M Zain, dan pengasas Wednesday Art Group, mendiang Peter Harris.

Artis lain yang karya mereka turut dipamerkan ialah Ahmad Zakii Anwar, Chuah Seow Keng, Chuah Siew Teng, Daud Rahim, Fauzulyusri, Ismail Kadir, Ismail Mat Hussin, Khoo Sui Hoe, Lim Ah Cheng, Long Thien Shih, Maamor Jantan, Mokhtar Ishak, Multhalib Musa, Raduan Man, Soon Lai Wai, Syed Thajudeen, Tajuddin Ismail, Tan Choon Ghee, Yusof Ghani dan Yusof Majid.

Setiap lukisan adalah hasil karya terbaik setiap artis yang mendapat pengiktirafan daripada Galeri Seni Negara serta dipamerkan di Galeri Petronas, Bank Negara dan Maybank dan tentunya 30 artis ini adalah yang terbaik di Malaysia.

Bercerita bagaimana dia boleh menjadi pengumpul serta peminat hasil karya seni, Thanasan yang dulu dikenali sebagai penyampai televi­syen untuk rancangan Lingo memberitahu mula tertarik pada lukisan ketika menuntut di London.

“Ketika itu saya suka melihat lakaran seni pada bangunan bersejarah di London yang sangat unik dan berseni. Sejak itu saya gemar melawat muzium dan menyaksikan hasil karya pelukis terkenal di sana dan membeli beberapa lukisan yang mampu dimiliki,” katanya.

Selepas pulang ke Malaysia pada penghujung 1990, dia mula mengumpul lukisan daripada beberapa artis terkenal negara dan lebih mendalaminya dengan berkunjung ke Galeri Seni Negara, Petronas dan bank yang kebanyakannya mengumpul karya terkenal ini.

“Ketika itu barulah saya faham keaslian serta kecantikan lukisan sebenarnya adalah gambaran latar belakang budaya seseorang,” katanya yang mula menggantung lukisan karya Khalil Ibrahim dan Yusof Ghani sebagai hiasan rumah menggantikan potret dan cermin besar.

Tambahnya, orang ramai boleh memiliki karya pelukis tempatan berharga RM1,000 sebagai permulaan dan boleh menambah dari semasa ke semasa dan itulah yang dilakukannya.

Antara semua lukisan mewah ini, dia menggemari karya Khalil Ibrahim. Pelukis berusia 77 tahun yang berasal dari Kelantan ini ialah pelukis terawal menyambung pelajaran di Central St Martin’s London. Dia menggunakan teknik lakaran dakwat di atas kertas dan akrilik di atas kanvas dalam karya terbaiknya berjudul East Cost Line Sketch (2001) dan Nude Series (2002).

“Lukisan Khalil ada kelas tersendiri kerana setiap lukisan ada maksud tersirat. Dia gemar berimaginasi menerusi lukisan bentuk tubuh manusia. Namun ketelitian dalam setiap lakaran sangat mengagumkan. Kerja tangan Khalil dapat dilihat menerusi kesinambungan lukisan anak didiknya Shafurdin Habib yang cukup indah dan unik, “ katanya.

Thanasan yang juga penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif majalah KL Lifestyle berharap, pameran yang diadakan ini mampu membuka mata ma­syarakat untuk mengenali hasil karya pelukis tempatan sekali gus memberi keyakinan kepada pengumpul dan pencinta karya seni untuk lebih menghargainya.

“Memang benar saya bukanlah individu yang pakar mengenai lukisan tetapi saya bercakap berdasarkan pengalaman yang diperoleh sepanjang mengendalikan pameran. Saya gembira apabila melihat mereka membeli dan gembira dengan apa yang dimiliki mereka,” katanya.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Pameran Permata Malaysia boleh menghubungi KL Lifestyle Art Space di G-36, Tropicana City Mall atau laman sesawang www.kl-lifestyle.com/artspace.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/13
`