Isnin,22 September 2014

Pasar terapung tumpuan pelancong

Oleh Siti Salmiah A Hamid

HATYAI di selatan Thailand memang terkenal di kalangan penduduk negara ini terutama di Kedah dan Perlis.

Ia dianggap pelengkap kepada Songkhla kerana daerah itu berperanan sebagai pusat pentadbiran dan budaya manakala Hatyai sebagai pusat perniagaan ibu negeri ini.

Hatyai mudah dikunjungi sama ada menggunakan laluan udara atau darat. Ada penduduk tempatan yang keluar masuk setiap hari sama ada untuk perniagaan atau melawat saudara mara di sempadan.

Selain aktiviti membeli-belah, Hatyai juga terkenal sebagai pusat pelancongan. Jika ke bandar itu, jangan lupa mengunjungi Jalan Petchakasem.

Foto

SEJUK...suhu di Ice Dome mencecah negatif 15 darjah Celsius.

Foto

MALU...peniaga buah berangan di Pasar Suntisook malu wajahnya dirakam lensa penulis.

Foto

KREATIF...Hatyai juga terkenal dengan barangan kraftangan menarik.

Foto

KREATIF...bahan semula jadi seperti buluh boleh dijadikan cenderahati.


Dengan bayaran masuk 300 baht (RM30) dan 150 baht (RM15) untuk kanak-kanak, pelancong bakal menggigil di Ice Dome, taman yang direka bentuk seperti berada di negara hemisfera sejuk.


Selain dibekalkan jaket dan sarung tangan, pelancong harus bersedia dengan stoking kerana suhu di taman itu mencecah negatif 15 darjah Celsius.

Penulis sendiri turut menggigil dengan suhunya tetapi keseronokan berada di taman menyebabkan kita lupa keadaan yang sejuk itu.

Pelbagai ukiran arca kreatif dan menarik, antaranya gajah dan penguin, menara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan pelbagai watak kartun yang menarik.

Keseronokan semakin terasa apabila ramai pelancong ingin menggelongsor dalam bongkah air batu, satu pengalaman yang mesti dirasai.

Walaupun sejuk, tetapi keinginan mahu mencuba dan merasai sendiri pengalaman menggelongsor di atas bongkah ais, penulis turut melakukan aksi gelongsor.

Rugi rasanya jika pelancong tidak singgah di Klonghae atau Khong Hae Floating Market yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

Senyuman dan sambutan 'sawadikap' dilontar penjual muda dan tua yang mengharapkan pelancong sedia membeli makanan yang dijual.

Makanan disusun di dalam sampan berhadapan laluan orang ramai sambil penjualnya menggoreng, merebus dan membuat makanan di atas sampan.

Dengan harga murah tidak melebihi RM20, pelancong mampu menikmati segala makanan, apatah lagi kebanyakan peniaganya beragama Islam.

Makanan akan dihulur kepada pelanggan menggunakan bakul unik manakala pelanggan akan memasukkan duit ke dalam bakul yang sama.

Pasar terapung ini dibuka setiap Jumaat hingga Ahad dari jam 3 petang hingga 9 malam bagi membolehkan pengunjung singgah di sini sekiranya cuaca terlalu panas pada siang hari.

Lebih istimewa, pelancong yang membeli air minuman boleh memilih sama ada menggunakan bekas pasu yang menyerupai kartun seperti doraemon dan hello kitty atau menggunakan buluh yang dilihat lebih bermanfaat.

Pelancong juga boleh membawa pulang bekas pasu berisi air minuman itu dan dijadikan cenderahati kenang-kenangan.

Selain keunikan makanan, pasar terapung ini masih utuh ciri tradisionalnya dengan mengekalkan prinsip jual beli dari atas sampan yang tiada di negara kita.

Penulis turut singgah di Restoran Hamid yang menawarkan pelbagai menu menarik seperti tomyam campur, ayam pandan, ikan siakap stim limau dan ayam goreng gajus serta dua lagi menu untuk hidangan 10 orang berharga RM165.

Perniagaan hampir 10 tahun ini mempunyai pelanggan dari dalam dan luar negara terutama dari Malaysia, Indonesia dan Eropah.

Suasana berdekatan tempat penginapan di Hotel Centara kelihatan cukup meriah pada waktu malam dipenuhi pelancong Malaysia yang sibuk tawar menawar ketika membeli kemeja-T, beg serta pelbagai cenderahati.

Warung makanan Islam yang menjual pulut ayam, sotong dan ketam goreng, mempelam serta durian mempunyai bilangan tempat duduk yang terhad, namun sesak dengan pelanggan.

Udang goreng panas bersaiz tiga jari, mi sup dan secawan teh tarik menjadi hidangan penulis sewaktu merakam kerenah masyarakat di bandar Hatyai sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/30
`