Ahad,13 Julai 2014

Payudara keluar cecair jernih

Soalan SAYA berumur 29 tahun, sudah berkahwin dan belum mempunyai anak.

Pada 13 Oktober lalu, saya menyedari ada cecair jernih yang keluar dari puting payudara saya walaupun tanpa dipicit.

Dua hari berikutnya, saya berjumpa doktor yang mengesahkan ia jangkitan kuman.

Doktor memberikan saya antibiotik dan ubat sapu. Saya menggunakan ubat sapu terbabit tanpa makan antibiotik kerana saya takut ubat dan keesokan harinya cecair itu tidak keluar lagi.


Adakah saya masih perlu makan antibiotik berkenaan walaupun cecair itu sudah tidak keluar lagi? Bagaimana berlaku jangkitan kuman sedangkan saya tidak menyusukan bayi?


IZA,
Rawang, Selangor.

Jawapan

SEKIRANYA anda tidak demam, cecair sudah berhenti keluar, payudara tidak mengalami kelainan (contohnya bengkak atau kemerahan kulit) dan pemeriksaan doktor mengesahkan keadaan anda sudah sembuh, anda mungkin tidak perlu mengambil ubat antibiotik terbabit, memadai dengan menggunakan ubat krim sapuan saja.

Jangkitan kuman boleh berlaku walaupun seseorang tidak menyusukan bayi. Luka kecil pada kawasan puting atau areolar boleh berlaku akibat geselan baju dalam atau sewaktu aktiviti seksual, jangkitan kuman boleh memasuki rekahan luka ini.

Mungkin juga anda tidak mengalami jangkitan kuman dan cecair terbabit sebenarnya mungkin susu akibat pengaruh hormon prolaktin. Doktor mungkin akan
menyarankan ujian ini jika cecair keluar semula, di samping mengambil sampel cecair terbabit untuk ujian sitologi.

Mulai sekarang, walaupun keadaan sudah pulih, eloklah anda mengambil langkah pemerhatian. Pemeriksaan payudara boleh dibuat sendiri sekali dalam setiap bulan dan sekiranya anda tidak pasti, tidak salah untuk berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Ultrabunyi payudara juga boleh dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05
`