Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Layari »
Khamis, 18 Mac 2010

Penghormatan buat 6ixth Sense, Misha

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
2010/02/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

POPULARITI 6ixth Sense menerusi beberapa lagu seperti Tak Bisa Memilihmu, Tanpa dan Khatimah Cinta melonjakkan nama mereka dalam senarai antara band popular tempatan.

Kumpulan yang dianggotai lima pemuda yang terdiri daripada Adi atau Adi Priyo merangkap vokalis utama, Mohd Faiz Azizi (Gjie/gitar utama), Safwan Hasnan (Wan/dram), Mohd Fairuz Ramli (Ayoy/bass), Shahrul Effendy Sha'ari (Atan/gitar kedua) ternyata mempunyai tarikan tersendiri.


Sejak bertapak dalam dunia seni sekitar empat tahun lalu pelbagai cabaran yang dilalui mereka. Bermula dengan kontroversi tampil bersama vokalis dari negara seberang, Adi yang berasal dari Jamber, Indonesia serta pelbagai persepsi yang diberikan kepada band yang diasaskan di ibu kota ini.


Begitupun, semangat lima sekawan ini tetap tidak luntur. Kesabaran bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil apabila karya mereka semakin diterima peminat muzik tanah air.


Buktinya lagu Tak Bisa Memilihmu menempa kejayaan apabila diiktiraf syarikat gergasi komunikasi Maxis sebagai Artist Of The Month bagi Julai 2007. Disusuli lagu Tanpa yang menjadi lagu tema untuk drama bersiri Cinta Untuk Ain. Selain lagu Khatimah Cinta, karya anggota kumpulan ini turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila muncul antara nada dering muat turut yang menjadi pilihan pengguna. Buat julung kali juga 6ixth Sense turut tersenarai dalam kelompok lima teratas kategori Penyanyi Duo/Berkumpulan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH) yang kini dalam proses undian. 6ixth Sense menjadi pilihan penganjur dalam senarai artis tempatan yang turut menjayakan Konsert Boys Like Girls 2010 Live at Nokia comes with music X6 Launch Party di Bukit Kiara Indoor Equestrian pada 29 Januari lalu.


Menurut Adi, program berkenaan membabitkan syarikat rakaman, Universal Music bersama Nokia sememangnya ia satu penghormatan yang cukup besar kepada mereka kerana buat julung kali diberi kesempatan berkongsi pentas disamping artis antarabangsa itu.

"Konsert ini adalah kolaborasi antara syarikat rakaman kami dan Nokia. Sudah tentu sebagai artis ia satu penghormatan dan peluang terbaik buat kami," katanya.


Kumpulan yang kini dalam proses mengumpul material untuk album ketiga, menghiburkan peminat menerusi beberapa lagu popular mereka seperti Khatimah Cinta, Tanpa, Yang Sempurnakanku dan Hari Ini Dan Semalam. Selain 6ixth Sense, turut membuat kemunculan menerusi konsert itu, Aizat yang menyanyikan empat lagu antaranya Fikirlah, Susun Silang Kata, I Go dan lagu hitnya, Kau Aku.


Penyanyi dan komposer yang berpangkalan di Hong Kong, Khalil Fong menghibur menerusi lagu berentak rancak seperti Singalongsong, Park, Play dan Love, Love, Love.


Kemunculan band pop rock Amerika, Boys Like Girls pastinya dinantikan peminat setia yang tidak berganjak sejak konsert bermula jam 8 malam.


Kunjungan Boys Like Girls itu adalah kali ketiga ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir menjayakan persembahan di samping band antarabangsa seperti The All-American Rejects, Hoobastank, Raygun, Kasabian and Pixie Lott sempena MTV World Stage Live di Sunway Lagoon pada Ogos tahun lalu.


Boys Like Girls dianggotai vokalis utama dan pemain gitar, Martin Johnson, Paul DiGiovanni (gitar/penyanyi latar), Bryan Donahue (bass/penyanyi latar) dan John Keefe (drams) menghiburkan peminat menerusi lagu seperti Love Drunk, Five Minutes to Midnight, She's Got A Boyfriend Now, Hero/Heroine, Heart Heart Heartbreak, Heels Over Head, Thunder dan The Great Escape.


Persembahan Boys Like Girls dengan aksi spontan ternyata menghiburkan lebih 5,000 penonton yang menyaksikan konsert yang diadakan serentak dengan majlis pelancaran produk telefon bimbit Nokia comes with music X6. Turut mendapat sorakan Misha Omar yang berpadu suara bersama vokalis Boys Like Girls, Martin Johnson menyampaikan lagu Two Is Better Than One. Misha yang mengambil alih tempat penyanyi asalnya, Taylor Swift berpuas hati dengan persembahan itu walaupun muncul di pertengahan konsert. "Sememangnya penampilan di konsert itu satu penghormatan besar buat saya sebagai artis tempatan. Biarpun tampil di tengah-tengah slot persembahan dengan hanya menyanyikan lagu duet berkenaan. "Ditambah pula dengan latihan yang tidak mencukupi. Namun saya tetap berpuas hati kerana dapat berkongsi pentas di samping artis antarabangsa itu.


"Dari segi latihan pula saya terpaksa berpandukan cakera padat (CD) dan menyanyi secara karaoke hanya beberapa hari lalu. Memang ia satu pengalaman yang cukup menarik buat saya," kata Misha yang popular dengan lagu Cinta Adam dan Hawa. Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Music Nokia, Joyce Lim berkata, persembahan konsert berkenaan serentak dengan pelancaran produk terbaru mereka. Menerusi konsert yang membabitkan artis tempatan dan antarabangsa ia secara langsung menyemarakkan kempen Nokia menerusi muzik tanpa batasan.


"Kami mahu memperkenalkan aplikasi terbaru yang ditawarkan Nokia menerusi muzik. "Menerusi produk terbaru berkenaan pengguna mampu muat turun nada dering kegemaran mereka dari semua artis antarabangsa dan tempatan. Kami berharap penganjuran konsert seperti ini dapat menghiburkan pengunjung khususnya peminat artis pujaan mereka.


"Selain sebahagian daripada usaha pihak kami dalam menghargai sokongan pengguna terhadap barangan Nokia," katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial