Selasa,29 Julai 2014

Peristiwa penting sebelum merdeka

Oleh Hasnah Hussiin

RAKYAT Malaysia tahu setiap 31 Ogos kita akan menyambut sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Pastinya terbayang program bagi meraikan hari bersejarah itu.

Antaranya, ceramah kemerdekaan, pertandingan kuiz dan puisi kemerdekaan, tayangan filem bersejarah, kibaran jalur gemilang dan detik 12 malam dengan laungan merdeka.

Begitu bersemangat generasi masa kini melaungkan perkataan itu sambil menghamburkan percikan bunga api ke udara tanpa tahu percikan bunga api itu melambangkan percikan darah pejuang negara yang berkorban mempertahankan tanah air.

Sebagai generasi baru, kita perlu meluangkan masa mengambil tahu detik atau peristiwa bersejarah sebelum negara ini merdeka daripada penjajah. Negara sudah melalui pelbagai peristiwa pahit manis amat panjang, justeru erti kemerdekaan sangat mahal harganya.


Perjuangan menentang penjajahan oleh pembesar Melayu

Campur tangan British dalam hal ehwal penduduk Tanah Melayu tidak direstui menyebabkan penduduk tempatan bangkit menentang.

Dasar campur tangan ini bermula di Perak melalui perjanjian Pangkor pada 1874.
Seorang Residen dilantik sebagai penasihat raja-raja Melayu dalam semua aspek pentadbiran kecuali perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Pelaksanaan dan pengenalan peraturan baru oleh pihak British mencetuskan gerakan tentangan daripada penduduk tempatan manakala tindakan mengambil alih tugas pungutan cukai dan menghapuskan sistem hamba abdi yang menjadi amalan pembesar Melayu menyebabkan timbulnya penentangan daripada pembesar Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak (juga membawa kepada pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak), Datuk Kelana di Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan Datuk Bahaman di Pahang.


Pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun pada 15 Februari 1942 dan berakhir pada 12 September 1945. Langkah awal Jepun menguasai Tanah Melayu dan pemikiran masyarakat Tanah Melayu adalah melalui propaganda atau slogan ‘Asia untuk orang Asia’ atau ‘Semangat Asia’ dan mengajak masyarakat menolak penjajahan Barat.

Jepun banyak menonjolkan imej Jepun dalam pemerintahannya dan menggunakan akhbar The Syonan Times dan Fajar Asia untuk menyebarkan propagandanya selain menyebarkan propaganda ‘Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya’ bagi mendapatkan sokongan daripada penduduk Tanah Melayu.

Dalam masa 10 minggu, Jepun memperkenalkan sistem pentadbiran bercorak ketenteraan manakala Tanah Melayu dinamakan Malai Baru (Melayu Baru) dan Singapura Syonan (Cahaya Selatan).

Jepun menggabungkan Tanah Melayu dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran pusat. Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Siam sebagai menghargai kerjasama mereka sebelum ini.

Ketika pentadbiran Jepun, Sultan Melayu hanya menjadi ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu saja dan diberikan elaun. Jepun menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan memperkenalkan sekolah yang menggunakan bahasa Jepun iaitu Nippon-go sebagai bahasa pengantar. Pelajar sekolah juga diwajibkan menyanyi lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo.


Malayan Union

Malayan Union yang cadangan penubuhannya pada 1 April 1946 adalah sebuah gabungan negeri Melayu dan Negeri Selat (tidak termasuk Singapura) bagi menggantikan British Malaya.

Ia merangkumi sembilan negeri termasuk Pulau Pinang dan Melaka diketuai Gabenor Inggeris, pusat pentadbirannya di Kuala Lumpur, kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan pengenalan kerakyatan Jus Soli.

Kerakyatan Jus Soli membawa maksud sesiapa saja yang berumur 18 tahun ke atas dan bermastautin di Tanah Melayu selama 10 tahun dari tempoh 15 tahun dan sesiapa saja yang lahir selepas penubuhan Malayan Union adalah dikira sebagai warga negara.

Orang Melayu menentang kerana kedaulatan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu tergugat dan orang bukan Melayu akan mengatasi jumlah bilangan orang Melayu.

Pada 1 Mei 1946, kongres Melayu yang kedua diadakan di Johor Bahru dan dalam kongres inilah ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) untuk memelihara pelihara kepentingan Melayu. Penentangan masyarakat Melayu ini menyebabkan Malayan Union dibatal dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.


Darurat

Darurat bermula pada 1948 dan berakhir pada 1960 disebabkan kemunculan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM ditubuhkan sejak 1930 bertujuan menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Ketika penjajahan Jepun, PKM menawarkan diri untuk membantu British menentang Jepun. Untuk itu, mereka menubuhkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) atau Tentera Anti Jepun Rakyat Tanah Melayu.

Selepas pendudukan Jepun, British kembali ke Tanah Melayu dan meminta PKM memulangkan semua peralatan senjata yang diberikan dan membubarkan MPAJA. PKM enggan, sebaliknya menentang British. Selain PKM, antara parti lain berhaluan kiri turut diharamkan British adalah Pembela Tanah Air (PETA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin.

Bagi melumpuhkan pergerakan ini, British telah memperkenalkan beberapa rancangan antaranya Rancangan Briggs iaitu penduduk Cina yang tinggal di pinggir hutan dibawa ke kawasan penempatan baru bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa Komunis.

Selain itu, diadakan perintah berkurung, mewujudkan kawasan putih dan kawasan hitam, mengadakan sekatan jalan raya dan kawalan kampung, mewajibkan setiap orang mempunyai kad pengenalan dan gerakan kelaparan dilancarkan bagi melumpuhkan Komunis.


Pilihan raya

Pilihan raya pertama di Tanah Melayu dijalankan pada 1951 untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan pada 1952 bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur.
Dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ini, Parti Perikatan (Umno dan MCA) berjaya memenangi sembilan daripada 12 kerusi dipertandingkan, sekali gus merintis kepada pilihan raya umum pertama bagi Tanah Melayu pada 27 Julai 1955. Umno, MCA dan MIC bergabung dalam Perikatan dan berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi.


Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

Pada 1956 ditubuhkan Suruhanjaya Reid bagi menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Ia diketuai Lord Reid, Sir William McKell, Sir Ivor Jennings, dan Tuan B Malik.

Sebanyak 131 memorandum bertulis diterima daripada pertubuhan-pertubuhan dan orang perseorangan.

Satu rang perlembagaan diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957 dengan mewujudkan Kerajaan Persekutuan, Ketua Negara ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan sembilan Raja Melayu dan berkhidmat selama lima tahun atas nasihat Kabinet dan Majlis Raja-Raja.

Ketua Kerajaan ialah Perdana Menteri yang dilantik daripada parti yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Beliau akan membentuk Kabinet yang bertanggungjawab kepada Parlimen yang terdiri daripada dua Dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat dipilih rakyat (melalui pilihan raya) selama lima tahun sementara ahli Dewan Negara dilantik iaitu dua orang oleh setiap Dewan Perundingan Negeri dan selebihnya (16 orang) oleh Yang di-Pertuan Agong.

Di peringkat Negeri, Sultan/Raja/Yang di-Pertua Negeri menjadi ketua negeri masing-masing sementara Ketua Kerajaan ialah Menteri Besar/Ketua Menteri. Ahli Majlis Perundangan Negeri dipilih rakyat untuk selama lima tahun. Pembahagian kuasa membuat undang-undang antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam agama rasmi dan tiga jenis kerakyatan diperkenalkan iaitu kuat kuasa undang-undang, permohonan dan naturalisasi.


Rundingan Kemerdekaan

Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasilnya, Perjanjian London ditandatangani pada 8 Februari 1956 manakala tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.


Pengisytiharan Kemerdekaan

Pengisytiharan kemerdekaan berlaku pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.
Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu pertama manakala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Yang di-Pertuan Agong.

 Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! amat bererti dan penuh bermakna kepada generasi pada ketika itu kerana pengorbanan dilakukan.

Buat generasi kini apakah erti Merdeka! Merdeka! Merdeka! kepada mereka?


Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Warga kampus yang mempunyai pandangan mengenai pelbagai isu semasa boleh menghantarnya ke ruangan ini dan e-mel kepada ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/22
`