Khamis,17 April 2014

Perut buncit seperti hamil

SAYA risau perut saya semakin hari semakin buncit. Pelbagai cara saya lakukan termasuk rawatan di hospital dan saya diberikan ubat sakit gastrik.

Selepas melahirkan anak kedua, masalah itu semakin berlarutan sehingga menyebabkan kitaran haid saya terganggu.

Saya amat risau kerana melihat perut saya yang semakin membuncit seperti hamil tujuh bulan, malah rakan sepejabat asyik bertanya.

Baru-baru ini, saya ke klinik swasta dan ketika itu saya tidak didatangi haid selama sebulan hingga saya fikir saya hamil. Apabila doktor melakukan imbasan, didapati ada sista di sebelah kiri rahim sebesar 1.5 sentimeter. Katanya, ia mungkin punca saya tidak didatangi haid.


Doktor memberikan saya tempoh selama dua minggu jika haid saya tidak datang, maka saya perlu mendapatkan ‘induce’. Tetapi selepas rawatan di klinik itu, haid saya datang semula dalam tempoh dua hingga tiga hari saja. Saya tidak merujuk semula ke klinik itu disebabkan faktor kos.


Saya kemudian ke hospital dan cuba memberitahu doktor di hospital kerana ketika itu saya demam dan perut pula sakit di bahagian kiri dan mengeras di bawah dada.

Ketika itu juga saya mengalami sakit pinggang yang keterlaluan tetapi doktor yang membuat pemeriksaan mendapati air kencing saya kotor. Jadi saya diberikan ubat lawas kencing, antibiotik, demam, gastrik dan sakit perut tetapi masalah itu sering berulang sekarang, malah perut saya makin membuncit. Apakah yang harus saya lakukan?

SALMA,
Kuala Lumpur




PERUT yang semakin membuncit boleh disebabkan pengumpulan lemak atau cecair di dalam ruangnya. Masalah ‘angin’ iaitu penghadaman usus lazimnya menyebabkan ia kadang kala membuncit dan bukannya semakin teruk.

Ujian ultra bunyi abdomen oleh pakar radiologi dapat menilai keadaan dalam abdomen anda. Anda boleh mendapatkan pemeriksaan awal bersama doktor sakit puan yang kemudian akan menguruskan ujian ultra bunyi yang dimaksudkan itu.

Sista sebesar 1.5 sentimeter lazimnya tidak dipanggil sista melainkan jika ia dikesan pada waktu haid. Ini kerana pada waktu tertentu dalam kitaran haid contohnya menghampiri waktu subur, kantung telur yang sedang membesar sebenarnya kelihatan menyerupai sista seperti yang anda sebutkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/22
`