Sabtu,30 Ogos 2014

Petua subur tanaman orkid

ORKID antara tanaman hiasan yang popular dan digemari kebanyakan pemilik kediaman.

Ia juga tidak sukar ditanam dan aspek penjagaannya juga lebih kurang sama dengan tanaman hiasan lain.

Perkara paling penting adalah pengetahuan berkenaan keperluan hidup tanaman hiasan itu.

Sudah tentu ia memerlukan persekitaran yang sesuai dan perlu disiram atau dibaja secukupnya.


Apabila rutin penjagaan dikekalkan dan kaedah penyeleng­garaan yang betul dilakukan, orkid di kediaman anda pasti sentiasa hidup subur.


Media penanaman orkid

Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya.

Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan:

1)Pecahan batu bata

  • Antara media yang popular dan mudah diperoleh.

    Biasanya digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat.

    Ia dicampur bersama dengan pecahan arang.


    Teknik menggunakan:

  • Sebelum digunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat semalaman.

  • Selepas itu angkat dan keringkan.

  • Pecah batu bata kepada saiz besar, sederhana dan kecil mengikut kesesuaian pasu.

  • Letak pecahan besar di bahagian paling bawah dalam pasu, diikuti dengan bersaiz sederhana dan kecil.

  • Tanam orkid di atas permukaan pasu.

  • Elak menimbus pangkal orkid anda.

  • Bagi menegak orkid yang tinggi gunakan kayu pancang sebagai sokongan.


    2)Pecahan arang

  • Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Boleh digabungkan dengan media batu bata


    Teknik menggunakan:

  • Rendam arang semalaman untuk membuang garam kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut.

  • Basahkan arang menggunakan aliran air supaya sisa garam dapat dibuang.

  • Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.


    3)Serbuk kayu

  • Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan dalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.


    Teknik menggunakan:

  • Ia boleh digabungkan de­ngan media pecahan batu bata, arang dan tanah pasuan.

  • Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman.

  • Angkat dan keringkan.

  • Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.

  • Letakkan orkid di atas media.

  • Jika menanam orkid yang hidup di atas tanah, campurkan bersama dengan media pasuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.


    4)Sphagnum moss

  • Antara media popular dijadikan sebagai lapisan untuk menanam orkid epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu.

  • Ia mampu menyimpan kelembapan dalam jangka masa lama.

  • Ada juga yang menggunakan seratus peratus sphagnum moss yang diletakkan
    di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis.

  • Ia bagi mengekalkan kelembapan dalam jangka masa lama kerana orkid jenis itu tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.


    Teknik menggunakan:

  • Rendam sphagnum moss di dalam larutan racun kulat semalaman.

  • Angkat dan biarkan hingga ia didapati lembap.

  • Isikan ke dalam pasu atau tampal kepada tunggul kayu.


    5)Potongan batang paku pakis gajah.

  • Media ini boleh menyimpan air dengan jangka masa lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau.

  • Ia amat sesuai untuk tanaman gantung.


    Teknik menggunakan:

  • Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian orkid yang hendak di tanam.

  • Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda.


    6)Tunggul kayu

  • Sesuai untuk tanaman orkid secara gantung.

  • Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah.

  • Mudah diperoleh di dalam hutan, di ladang sawit atau di tepi sungai.

  • Teknik menggunakan sama seperti menggunakan poto­ngan batang paku pakis gajah.

  • Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.


    7)Potongan dahan tembusu

  • Sesuai untuk menanam orkid daripada famili bulbophyllum dan phalaenopsis.

  • Orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media itu.

  • Ia mempunyai kulit tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.


    8)Tanah campuran

  • Orkid yang hidup di tanah memerlukan media itu.

  • Biasanya membabitkan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1.

  • Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik kepada akar orkid.


    9)Tiada media

  • Bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan sebarang media.

  • Teknik itu sesuai untuk orkid jenis vanda dan memerlukan kadar penyiraman lebih.

    Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/17
  • `