Rabu,30 Julai 2014

Reviu Produk: Acro S kalis air, debu

Oleh Afiq Hanif

SONY Mobile Communications (Sony) mempunyai beberapa model baru dikeluarkan tahun ini yang rata-rata sesuai untuk penggunaan tertentu dengan masing-masing dilengkapi ciri menarik sukar dilepaskan.

Salah satunya termasuk Xperia Acro S menjadi model telefon bimbit menarik kerana keupayaannya didatangkan lengkap bersama penarafan format IP57, yang bermaksud, ia kalis air dan habuk. Di sebalik dua ciri yang sukar dibayangkan jika anda hanya menggunakan telefon biasa di pasaran, model terbabit masih datang penuh dengan ciri mewah seperti pemprosesan Dual Core serta format paparan 4.3 inci 720p HD.

Xperia Acro S mungkin mempunyai rekaan seperti telefon bimbit Xperia lain yang tidak jauh berbeza, bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan termasuk beberapa sambungan port telefon pintar kesemuanya terdapat di bahagian atas.

Sambungan Micro USB, micro-HDMI serta jek audio 3.5mm dilindungi lapisan plastik berkilat dan ia kalis air. Berdasarkan kepada penarafan IP57, anda mampu menenggelamkan telefon ini dalam air sehingga satu meter sehingga 30 minit.


Diliputi dalam bahan plastik dan gelas, Acro S tidak kelihatan seperti telefon premium, tetapi rekaannya jelas nampak kukuh. Bahagian belakang diliputi plastik yang agak licin bersesuaian untuk mengelakkan air terapung di permukaan bahan.


Acro S menggunakan paparan 4.3 inci Reality 720p skrin yang tahan calar terang dan boleh dilihat walaupun di bawah cahaya matahari secara terus manakala kombinasi warnanya sungguh menarik membolehkan anda melihat skrin dari mana-mana sudut tanpa silau. Telefon pintar ini didatangkan dengan bateri 1910mAh yang mempunyai setoran hingga 16GB di samping penambahan kapasiti sehingga 32GB dengan kad microSD.

Slot kad terbabit ditempatkan di sebelah kiri, bersebelahan dengan slot kad SIM yang kedua-duanya mempunyai penutup plastik masing-masing. Menariknya, telefon terbabit sudah siap dengan sistem operasi terbaru Android 4.0 (Ice Cream Sandwich).

Ia membuatkan menu utamanya sedikit berlainan, tetapi ia perubahan positif kepada antaramuka mantap dengan dua butang maya pada bahagian atas skrin membolehkan anda untuk menetapkan ‘wallpaper’ dan tema selain menambah ‘widget’ tertentu.

Ciri terbabit berbeza dan tidak begitu lancar jika anda berpengalaman menggunakan Gingerbread.

Selain kalis air dan debu, Acro S juga mempunyai teknologi pengesanan jari basah bermakna anda masih boleh berinteraksi dengan menyentuh skrin ketika jari basah yang mungkin sesuai jika anda individu kerap berpeluh.

Prestasi kamera beresolusi 12.1 megapiksel cukup memadai terutama ketika kegunaan musim perayaan ini manakala fungsi ‘shutter’ juga memberi respon pantas terhadap rakaman imej yang mahu diambil.

Kuasa telefon dengan Dual Core 1.5GHz menghidupkan operasi bertenaga telefon terbabit dengan kelancaran ketika bertukar aplikasi juga tidak dapat disangkal jika anda menggunakan telefon ini.

Kalau anda mahu tahu, telefon Acro S baru saja dilancarkan hari ini, jadi jangan lupa mensasarkan kedai terdekat untuk mendapatkan telefon raya ini.

Kesimpulannya, Sony Xperia Acro S adalah telefon pintar yang baik bagi segmen peranti bersaiz 4.3 inci malah harganya pun boleh tahan sesuai dengan pelbagai ciri ditonjolkan!


SPESIFIKASI:

PRODUK: Sony Xperia Acro S
HARGA: RM1,699 (percuma aksesori bernilai RM272)
PENGELUAR: Sony Mobile Communications
PERTANYAAN: Sony Mobile Communications
LAMAN WEB: www.sony.com.my

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/14
`