Khamis,24 Julai 2014

SPNB peruntuk RM5.1j bantu 528 pembeli

Kota Kinabalu: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperuntukkan RM5.1 juta bagi membantu 528 pembeli yang terbabit dengan kelewatan pembinaan projek perumahan Taman Saujana Kinabalu di Kampung Badukan, Ranau.

Kelewatan pemaju menyiapkan projek perumahan itu memaksa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun campur tangan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.


“Pemaju bersetuju memulakan kerja menyiapkan projek ini mulai Isnin depan. Semua pihak juga bersetuju satu jawatankuasa teknikal dibentuk bagi memantau kemajuan projek itu setiap dua minggu.

“Pemaju bersetuju menghantar laporan projek ini setiap minggu kepada SPNB,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pihak SPNB, pemaju perumahan dan wakil pembeli di Wisma Tun Fuad, di sini, Rabu lalu.


Beliau yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Karanaan (di Ranau) meminta pihak pemaju yang diamanahkan SPNB segera menyiapkan projek tersebut yang dimulakan pada 2008 selewat-lewatnya Julai ini.


Masidi berkata, walau pun nilai harga pasaran rumah kini berubah, namun bagi pembeli rumah yang terbabit dalam projek itu, nilai harga rumah mengikut harga asal seperti ditetapkan.

Pemaju memaklumkan projek perumahan itu hampir 80 peratus siap dan pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam kelewatan pembinaan projek itu dan akan membayar ganti rugi berupa Bayaran Lambat Siap kepada pembeli semasa penyerahan rumah nanti.


Ketua Pegawai Kewangan SPNB Maszirul Arlinza Awalludin berkata bantuan yang diberikan untuk membantu pembeli yang sebelum ini terbeban apabila terpaksa menyewa dan membayar pinjaman bank.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20
`