Jumaat,25 April 2014

Sam D’lloyd meninggal

Oleh ADAM SALLEH

KUALA LUMPUR: Tiada lagi alunan mendayu Cinta Hampa mahupun Oh Di Mana daripada Sam berikutan kematian vokalis utama kumpulan D’lloyd itu, pagi semalam.

Sam, yang nama sebenarnya Syamsuar Hashim, 64, mengidap penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dirahsiakan selama ini, menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Cempaka Putih, Jakarta, Indonesia, sekitar jam 9.15 pagi waktu Malaysia.


Berita kematian Allahyarham dimaklumkan kepada Metro Ahad oleh sahabatnya, komposer Richard Kyoto yang turut menziarahi jenazah Sam di kediaman kakaknya sebelum dikebumikan di Tanah Kuasir, Jakarta. Richard, komposer lagu Kasih, menyifatkan sahabatnya itu seorang yang memendam rasa kerana di sebalik wajahnya yang sentiasa senyum, ramai di kalangan ahli keluarga, teman dan peminat tidak menyedari penyakit kanser paru-paru Allahyarham sudah di peringkat serius.

“Saya terkejut apabila diberitahu penyakit kanser Allahyarham sudah sampai tahap empat. Hairannya bila bertemu, beliau tidak pernah menceritakan perihal penyakitnya itu. Sedih saya mengenangkannya tetapi bersyukur dapat menziarahi jenazahnya,” katanya.


Kumpulan D’lloyd turut dianggotai Bartje Van Houten selaku pemain gitar dan ketua kumpulan, Yuhanny Fatmarida Susilo, Chairul Daud, Candra Casmala dan Ucep Tekol. Lagu lain dipopularkan D'lloyd seperti Keagungan Tuhan, Oh Tak Mungkin dan Semalam Di Malaysia.


Di kalangan anggota D’lloyd, Sam dilihat agak misteri kerana statusnya yang hidup membujang. Bagaimanapun, kata Richard, seingatnya Allahyarham pernah berkahwin dengan seorang perempuan Singapura tetapi jodoh tidak panjang dan mereka juga tidak dikurniakan zuriat.

D’lloyd yang ditubuhkan pada 1969, antara kumpulan muzik berpengaruh di rantau ini pada era 1970-an, julung kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 1978 di Stadium Negara. Sekitar awal 1990-an, Harian Metro membawa D’lloyd untuk satu persembahan khas manakala konsert terakhir D'lloyd di sini, pada 6 hingga 8 Mei tahun lalu di Istana Budaya melalui persembahan Semalam Di Malaysia, bergandingan dengan Datuk Ahmad Jais.


Ketika sidang akhbar, Sam membuatkan pihak media terharu apabila dia tiba-tiba sebak hingga mengalirkan air mata. Kesedihan itu diperjelaskan Sam betapa jiwanya tersentuh mengenang walau sudah setengah abad peminat di Malaysia masih mengagumi D’lloyd.

Apa yang pasti air mata Sam itu, petanda salam perpisahan kepada peminat Malaysia untuk tidak bertemu kembali.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/10
`