Khamis,31 Julai 2014

Sami beri ‘nombor ekor lama’

Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Subang Jaya: Seorang lagi kaki judi ekor menjadi mangsa penipuan ‘sami’ yang kononnya mampu menyediakan nombor ramalan dan kali ini membabitkan kerugian RM27,000.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Kumar, 37, berkata, dia mendapat risalah mengenai ramalan nombor ekor oleh sami itu selepas diberikan adiknya yang menjumpai risalah itu di Shah Alam. Kumar berkata, apabila dia menghubungi sami itu, lelaki terbabit memberitahu sebelum mendapat nombor ramalan mangsa perlu memasukkan RM100 dalam akaun diberikan kononnya untuk keperluan anak-anak yatim.


“Selepas saya berbuat demikian, dia meminta wang lagi untuk membeli bahan untuk upacara ‘pemujaan.’ Selepas itu, sami terbabit berjanji menghantar nombor ekor melalui pos kononnya saya akan mendapat keuntungan lumayan,” katanya yang di temui pada sidang media di Pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM), semalam.

Menurut Kumar, nombor ramalan itu diterimanya beberapa hari kemudian, namun nombor berkenaan sudah keluar sebelum itu.


Katanya, sekali lagi sami itu memintanya memasukkan apabila dia meminta nombor baru, namun nombor diberikan tidak pernah menang.


“Apabila saya meminta penjelasan, dia berkata saya bermasalah dan upacara khas perlu dilakukan untuk membersihkan nasib saya. “Jadi, saya memasukkan lagi wang ke dalam akaunnya untuk upacara pemujaan itu. Situasi itu berlaku sehingga 15 kali dan jumlah wang saya berikan RM27,000.

“Tapi, saya masih tidak menang sedangkan wang itu saya pinjam daripada ceti haram,” katanya.


Kumar berkata, dia sedar dirinya sudah ditipu dan lebih malang dia kini menanggung hutang dengan along serta perlu membayar RM750 setiap bulan sebagai bayaran ansuran.

Sementara itu, Presiden LKPJM Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, orang awam perlu lebih bijak menilai sesuatu iklan lebih-lebih lagi membabitkan ramalan nombor ekor. “Pemantauan kami mendapati sindiket ramalan nombor ekor aktif bukan saja di Lembah Klang, tapi juga di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26
`