Selasa,02 September 2014

Sel lemak punca lipoma

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

BENJOLAN kulit yang muncul di badan, apatah lagi dapat dilihat dengan mata kasar, tentunya membuatkan seseorang individu berasa rendah diri dan tidak yakin. Lebih menakutkan jika benjolan ini muncul di tempat seperti tangan, kaki, bahu dan leher.

Sesetengah pihak berpendapat benjolan ini bahaya dan lebih kepada risiko kanser, namun tidak kurang juga ada yang mengatakan ia tidak bahaya. Sejauh manakah benjolan yang dikenali sebagai lipoma ini memberi impak dalam kehidupan manusia?

Perunding Bedah Am Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Zain Al-Rashid menjelaskan, lipoma adalah sejenis ketumbuhan berasal daripada sel lemak dipanggil lipid yang terbentuk oleh tisu adipose yang lazimnya berlaku di antara kulit dan lapisan otot.

Ia tidak berbahaya dan sangat biasa berlaku, yang mana satu hingga dua peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan mengalaminya.

Foto

JIKA TIDAK SELESA... benjolan di belakang leher in,i atau lipoma, tidak menyakitkan tetapi elok dibuang.

Foto

BESAR... sesetengah lipoma mencapai saiz tujuh sentimeter apabila dikeluarkan.


Lipoma dikategorikan sebagai ketumbuhan benigna (tumor bukan barah), tidak merebak atau berbahaya selagi ia tidak berubah menjadi kanser.


“Lipoma jarang memudaratkan dan kemungkinan untuk menjadi kanser hanya 0.05 peratus. Ada perbezaan pendapat mengatakan lipoma punya kapasiti kecil untuk menjadi barah, tetapi sangat jarang, manakala pendapat kedua mengatakan semua lipoma bukan barah.

“Lipoma juga biasanya senang dikesan kerana kebanyakannya berada di bawah kulit dan boleh timbul pada bahagian tubuh, tangan dan kaki serta leher.

“Ia juga boleh berlaku pada kulit kepala, dahi atau di mana saja asalkan ada lapisan tisu adipose,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, lipoma tidak perlu dibuang dan bergantung kepada keselesaan pesakit. Namun, jika rimas dengan benjolan yang mengganggu penampilan dan bimbang ia melarat walaupun ia bersifat bukan barah, ia boleh dibuang dengan mudah.

“Ketumbuhan lemak boleh berlaku pada semua orang dewasa dan ia jarang terjadi pada kanak-kanak. Sebagaimana ketumbuhan lain, semua orang boleh mendapat lipoma, tetapi orang gemuk mempunyai risiko lebih tinggi. Begitupun, ada juga pesakit di kalangan orang kurus dan ia juga boleh diwarisi.

“Ketumbuhan ini juga unik kerana ia lembut, boleh bergerak (apabila ditekan), tidak melekat pada kulit, tiada simptom dan mengambil masa lama untuk terbentuk.
“Pada amnya, lipoma ada dua bentuk, iaitu bulat dan leper dan saiznya sama seperti duit syiling 20 sen dan 50 sen,” katanya.

Lipoma secara teknikalnya boleh berlaku pada mana-mana kawasan berlemak, termasuk kawasan sekeliling organ seperti buah pinggang dan usus.

Lipoma di bawah kulit tidak menimbulkan masalah, tetapi yang tumbuh di tempat tidak sepatutnya seperti dalam usus, tulang belakang dan hati boleh membawa masalah kerana ia menyebabkannya tersumbat, ulser dan pendarahan.

Ada juga penyakit seperti Sindrom Dercum dan Sindrom Madelung yang dikategorikan sebagai jarang berlaku. Ia boleh dikesan apabila ada banyak tompokan lipoma di serata badan yang biasanya dialami orang minum arak, warga tua dan sering dikaitkan dengan obesiti (tidak semestinya orang gemuk mengalami lipoma tapi boleh mengalami Dercum).

Mereka juga sering mengadu mengalami gejala tidak khusus seperti tidak sihat, pening kepala, sakit perut, mabuk dan sakit sendi yang tiada kena mengena dengan tompokan lemak itu.

“Biasanya pesakit ditumbuhi bukan satu atau dua benjolan lipoma tetapi 20 hingga 30 benjolan. Namun situasi ini jarang berlaku berbanding lipoma biasa yang sering tumbuh di bawah lapisan kulit.

“Penyakit ini juga lebih tertumpu kepada lelaki. Disebabkan ia ketumbuhan biasa di bawah kulit, ramai orang tidak mengambil tahu atau kisah mengenainya.

“Paling penting jika didapati benjolan atau rasa kurang selesa, segera berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan ketumbuhan lemak, sebaliknya petanda penyakit lain. Ketumbuhan lemak mudah dikenal pasti dan boleh ditentukan melalui pemeriksaan fizikal saja,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi mengenal pasti benjolan itu lipoma atau bukan, pesakit perlu menjalani diagnosis klinikal. Ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI), dilakukan hanya jika lipoma itu menunjukkan tanda luar biasa.

Kes dianggap berbahaya adalah lipoma yang ketika kecilnya tiada sifat radiologikal mencukupi yang menunjukkan ia akan berubah menjadi barah seperti liposarcoma, misalnya yang biasanya mengganggu tempat lain seperti belakang usus dalam badan (sekitar retroperitonial).

Secara umumnya, selagi ia tidak mendatangkan kesakitan atau masalah kesihatan, ketumbuhan lemak ini tidak perlu dibuang.

Namun demikian, keputusan ini tertakluk kepada pilihan setiap individu kerana ramai lebih gemar ketumbuhan lemak dibuang atas faktor kosmetik. Biasanya ia dinasihatkan dibuang jika ukuran garis pusatnya (saiz) melebihi lima sentimeter.

Pembedahan pembuangan ketumbuhan lemak boleh dianggap pembedahan kecil kerana ia membabitkan kaedah bius setempat. Maknanya, pesakit boleh menyaksikan doktor menjalankan pembedahan pembuangan ketulan lemak itu.

Dr Zain turut menasihatkan walaupun tidak berbahaya, lebih baik dibuang kerana jika dibiarkan ia terus membesar. Ketumbuhan ini mungkin boleh menyebabkan masalah lain. Tindakan awal boleh mengurangkan risiko pembedahan jika dilakukan pada peringkat lewat.

Bagi Sarah Ahmad, 24, benjolan yang disedari kewujudannya di sebelah kanan pinggangnya sejak empat tahun lalu tidak diambil peduli kerana tidak menyebabkan kesakitan. Namun semakin hari benjolan itu semakin besar.

“Saya memiliki berat dan tinggi yang ideal namun setiap kali ke kelas, kawan akan tegur dan tanya apakah benjolan yang ada di belakang pinggang di sebelah kanan.
“Ramai juga menasihatkan supaya berjumpa pakar dan buat pemeriksaan selanjutnya. Saya tidak ambil peduli disebabkan tidak menyebabkan kesakitan dan kemudaratan,” katanya ketika dihubungi.

Namun lama-kelamaan Sarah tidak selesa kerana mengalami kesukaran tidur apabila mengiring ke sebelah kanan. Selepas mendapat nasihat keluarga dan rakan, akhirnya Sarah menemui pakar sebuah hospital di ibu negara.

Selepas didiagnosis, nyata benjolan itu adalah lipoma. Doktor turut mengesyorkan Sarah membuang benjolan itu, apatah lagi hanya pembedahan biasa dilakukan.

“Selepas dibius, saya tidak merasa apa-apa sehingga selesai dibedah. Meskipun pembedahan itu meninggalkan parut, tapi paling penting benjolan itu hilang dan saya berasa lebih selesa dan yakin.

“Kini saya bebas dan tiada lagi benjolan yang mengganggu. Kepada yang mempunyai benjolan ini, segera buat pembedahan kerana itu jalan terbaik bagi mengelakkan ia terus membesar,” katanya.


Pembedahan lipoma hanya perlu jika:

  • Mula sakit dan rasa lembut bila disentuh
  • Terkena jangkitan atau radang berulang kali
  • Menghasilkan bau dan lelehan kurang menyenangkan
  • Mengganggu pergerakan atau fungsi
  • Saiz bertambah besar
  • Menjejaskan daripada segi kosmetik, seperti ketara di tangan dan dahi


    Tisu adipose

  • Tisu atau lemak dalam badan
  • Ia berperanan penting bagi penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak
  • Ia turut bertindak sebagai ‘pelapik’ dan memberi haba kepada badan
  • Biarpun terletak di bawah kulit, ia turut ditemui di sekitar organ dalaman badan

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/08
  • Artikel Lain

    `