Rabu,03 September 2014

Sembur cat sebelum samun

Shah Alam: Samun terancang. Itu yang berlaku dalam kejadian samun sebuah mesin deposit tunai (CDM) di stesen minyak di Seksyen 28, di sini, semalam, sehingga mengakibatkan wang tunai yang dianggarkan RM190,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, suspek yang dipercayai lebih daripada seorang itu melakukan persediaan rapi apabila menyembur cat pada semua kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu sebelum memecah masuk.


  Katanya, polis menerima laporan pada jam 7.20 pagi dan suspek dipercayai turut mahu melarikan tiga mesin juruwang automatik (ATM) yang berada di dalam stesen minyak berkenaan, namun gagal berbuat demikian.

“Kita percaya mereka melakukan tinjauan di stesen minyak ini beberapa kali sebelum menyamun dan menyasarkan tiga mesin ATM dan sebuah mesin CDM.


 “Namun hasil siasatan awal mendapati mereka hanya berjaya melarikan wang di sebuah mesin CDM dan kami mendapati semua CCTV yang ada di stesen ini disembur dengan cat,” katanya di sini, semalam.


  Zahedi berkata, suspek tidak membawa senjata dan masuk ke dalam premis berkenaan melalui pintu belakang selepas memotong mangga.

  Katanya, stesen itu beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dan kejadian itu disedari pekerja yang tiba di stesen untuk memulakan kerja.


  Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
`