Isnin,22 September 2014

Sihat Cergas: Khasiat beras perang

Kebiasaan orang Asia tidak dapat lari daripada mengambil nasi sekali gus menjadikan nasi makanan ruji sama ada untuk hidangan pagi, tengah hari atau malam.

Namun ramai tidak tahu antara beras putih dan perang, beras perang lebih berkhasiat dan baik untuk kesihatan berbanding beras yang biasa kita jamah.

Jika dilihat dari segi luaran, beras perang sama saja dengan beras biasa, tetapi apa yang membezakannya adalah beras perang tidak dibuang selaput kulit yang meliputi beras itu.

Oleh sebab itu, keba-nyakan kita lebih menyukai beras biasa kerana ia lembut dan cepat dimasak, berbanding beras perang yang mempu-nyai tekstur agak kasar

.
Ia dinamakan beras perang kerana beras terbabit belum ditapis dan diproses seperti beras putih yang sudah diproses dan dibuang kulitnya.


Bahagian yang dibuang itulah terkandung pelbagai nutrisi yang sememangnya diperlukan badan. Ini termasuk serat, protein, magnesium, manganese dan zink iaitu antara nutrisi yang terbuang semasa proses penapisan.

Beras perang membuat anda berasa lebih cepat kenyang dan membantu untuk mengambil makanan dengan jumlah yang kecil.

Ini dapat membantu proses berdiet kerana kandu-ngan serat yang terkandung di dalamnya membuatkan proses penghadaman menjadi lebih mudah.

Bagi penghidap kencing manis, beras perang sememangnya menu terbaik bagi menggantikan beras putih yang sentiasa menjadi sajian anda. Ini kerana beras perang dapat membantu menstabilkan kandungan gula dalam darah. Ia membebaskan gula secara perlahan berbanding beras putih.

Beras perang menjadi pilihan yang tepat sebagai menu yang boleh membantu pesakit kencing manis.

Walaupun beras perang kurang digemari ramai kerana rasanya yang kurang enak berbanding beras biasa, khasiatnya amat bernilai berbanding beras putih.

Kandungan serat yang tinggi membantu mencegah penyakit kanser usus. Serat ini menjaga bahan yang tidak diperlukan dan toksin daripada melekat pada usus.

Untuk kesihatan, cuba amalkan mencampurkan beras biasa dan segenggam beras perang setiap hari dan nikmati kebaikannya.

Beras perang baik dimakan oleh bayi yang baru diperkenalkan dengan bubur nasi dan individu yang ingin mengamalkan diet kalori rendah.

Walaupun beras perang sering diabaikan oleh kebanyakan pengguna kerana dikatakan kurang enak atau baunya yang kurang segar, tiada siapa dapat menafikan manfaat dan kebaikannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/09
`