Khamis,02 Oktober 2014

Soseh Soseh: Kecewa sikap pengarah

Seorang rakan yang terbabit di balik tabir sebuah filem baru-baru ini mengadu kepada SS mengenai sikap seorang pengarah yang mengecewakannya. Rakan SS ini adalah seorang ‘freelance’ dan berpengalaman sebagai orang kuat di balik tabir penggambaran filem sejak beberapa tahun lalu.

Katanya kepada SS, sebelum ini dia dipelawa oleh pengarah terbabit menjadi perunding dalam sebuah filem arahannya. Rakan ini yang memang rapat dengan pengarah dan kebetulan jalan cerita dan konsep filem berkenaan berjaya menarik hatinya, tanpa banyak soal dia terus bersetuju.

Namun, apabila penggambaran bermula dia mula berasa sesuatu yang tidak kena dengan pengarah terbabit. Ini kerana kebanyakan ideanya untuk filem itu tidak diguna pakai sebaliknya pengarah terbabit lebih mempercayai individu tertentu dari syarikat yang menerbitkan filem berkenaan.

Dia keliru dan mula terfikir apa fungsinya dia sebagai perunding dan pemberi idea untuk babak dan props dalam filem itu apabila segala ideanya tidak digunakan. Dia tidak faham kenapa pengarah terbabit seolah-olah tidak mempercayainya.


Nak dijadikan cerita, filem terbabit mencatat kutipan yang begitu memberangsangkan termasuk mendapat pujian media dan banyak pihak. Namun, dia kecewa kerana pihak penerbit tidak memberi satu sen pun sebagai bonus. Katanya, jika syarikat lain mampu memberi bonus kepada pelakon dan pekerja produksi bonus apabila filemnya mendapat sambutan, tetapi penerbit filem itu langsung tidak memberikan apa-apa.


Katanya, dia tidak mempertikaikan jumlah bayaran yang diterima, tetapi adalah lebih wajar jika syarikat terbabit memberi bonus kepada semua tenaga kerja filem berkenaan.

Rakan SS itu juga membuat keputusan tidak mahu lagi menyertai produksi filem arahan pengarah itu selepas ini. Katanya, dia sudah dihubungi pengarah terbabit baru-baru ini untuk penggambaran filem terbarunya. Namun dia tetap dengan keputusan enggan bekerjasama dengan pengarah itu lagi kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.


SS: Teringin juga nak bekerja di balik tabir pembikinan filem.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/06
`