Khamis,31 Julai 2014

Taman tergantung ala Bali

Oleh Hartini Mohd Nawi

SEJUK mata memandang dan reda segala tekanan ketika sudut pandangan dialihkan ke arah penataan landskap taman yang menarik.

Elemen alam dan hiasan digabungkan supaya konsep pilihan benar-benar memberikan manfaat dan memenuhi cita rasa pemiliknya.

Malah idea kreatif juga tidak mengehadkan binaan taman hanya sesuai di ruang tertentu saja.

Tidak juga bermakna taman indah hanya menarik dan kelihatan semula jadi jika ia dibina di bahagian luar kediaman teres.


Lantas, Maslina Meor Radhi, 35 dan Kama Ruzi Othman, 43 menggunakan peluang yang ada untuk mengilhamkan landskap berbeza di tingkat atas kediamannya.


Sebaik memiliki kediaman jenis semi-D itu, pembinaan taman berkonsepkan ala Bali dilakukan seawal mungkin supaya suasana semula jadi yang cuba dizahirkan benar-benar sempurna apabila ia didiami.

Hakikatnya, pasangan itu mempunyai alasan tersendiri mengenai taman itu dan ia amat berbaloi dengan bajet dikeluarkan.

“Idea membina ‘taman tergantung’ ini bertujuan memberikan suasana berbeza dan boleh dimanfaatkan seisi keluarga tidak mengira masa.

“Reka bentuk kediaman yang unik juga banyak membantu ditambah dengan kombinasi ruang dalamannya yang eksklusif,” kata suri rumah dan ibu kepada lima cahaya mata itu.

Di samping itu, latar ruang tamu yang luas dan mengadap taman ala Bali cukup menghadiahkan ketenangan kepada tetamu.

Sebaik pintu gelungsur dibuka bunyi desiran air yang mengalir perlahan dari celahan dinding landskap kolam benar-benar menghiburkan halwa telinga.

Kolam pancuran itu juga menjadi titik fokal dan antara elemen pertama yang dipandang sebaik berada di taman itu.

“Taman ini tidak seluas mana tetapi ruang yang ada kami manfaatkan sebaik mungkin.

“Penataan landskapnya juga antara usaha kami untuk mendekatkan anak-anak dengan alam dan terus menghayatinya,” kata isteri kepada arkitek perkapalan itu.

Bagi menambahkan keselesaan, binaan pelantar kayu dibuat selari dengan kedudukan kolam pancuran.

Ruang seterusnya dilitupi rumput permaidani dan diserikan batu pemijak yang ringkas.

Pelbagai jenis tanaman terpilih pula ditanam sebaris dengan kolam berpancuran bagi menyerlahkan suasana damai semula jadi.

Dalam melengkapkan penataan konsep ala Bali, beberapa elemen hiasan sesuai diletak termasuk panel dinding kolam berpancuran.

Maslina berkata, kehadiran buaian di sudut kiri taman itu turut menjadi tarikan selain tempat bersantai paling digemari.

“Sesekali bersantai di buaian ini terasa bagaikan berada di kampung halaman yang dilatari pemandangan indah ada semula jadi.

“Biar pun ringkas, taman ini banyak fungsinya kepada kami seisi keluarga,” katanya.

Selari keindahan landskap taman, penataan ruang dalaman kediaman yang terletak di Twin Palms, Sungai Long, Kajang, Selangor itu juga tidak kurang hebatnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/25
`