SEKUMPULAN kanak-kanak sedang bertungkus-lumus menanam sayur-sayuran. Ada yang mengorek tanah, membersihkan kawasan sekitar serta menyiram pokok yang sudah ditanam.
Jelas tergambar kegembiraan pada wajah mereka dengan keringat yang mengalir di pipi serta pancaran terik mentari. Namun, semua itu langsung tidak menjadi masalah kepada mereka asalkan dapat bersama-sama menjayakan projek Taman Dapur Saya yang menjadi aktiviti rasmi sejak tiga tahun lalu. Mengambil inspirasi daripada Taman Dapur yang dilaksanakan secara meluas di United Kingdom dan Australia, bertempat di Asrama Darul Falah (Asdaf) yang menempatkan anak-anak yatim Orang Asli, mereka menjalankan aktiviti gotong-royong untuk projek Taman Dapur Saya yang dikelolakan pelajar latihan industri daripada Universiti Malaya dalam jurusan polisi dan pengurusan sains dan teknologi. Menurut pengarah projek Taman Dapur Saya, Marliyana Maat, projek berkenaan diadakan kali ketiga selepas 2008. Biasanya rakyat Malaysia menanam sayur-sayuran berkonsepkan kebun sebaliknya Taman Dapur Saya yang dibina ini lebih berkonsepkan taman. "Projek ini diadakan sekali lagi untuk Asdaf kerana ingin membantu mengurangkan perbelanjaan bahan mentah di asrama. Di samping itu, projek ini dapat mendidik anak-anak Asdaf supaya lebih berdikari dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan alam sekitar. Pelaksanaan projek ini juga diharap mampu meningkatkan sistem pembangunan mampan yang digalakkan kepada orang ramai," katanya. Apabila tanaman sudah matang dan boleh dipetik, hasilnya dapat dimanfaatkan kepada semua penghuni Asdaf, sekali gus mengurangkan bebanan kos seharian mereka. Daripada sudut lain, projek ini juga dapat mengisi masa lapang kanak-kanak dengan aktiviti berfaedah dan sihat seperti menyiram, menjaga dan menyuburkan tanaman. Aktiviti yang diadakan pada 18 Jun lalu disertai 45 kanak-kanak berusia sembilan hingga 19 tahun dan dibantu 19 sukarelawan daripada Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta 32 pengakap daripada Kolej Twintech. Menurut Pengurus Pembangunan Program Yayasan Kemanusiaan, Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid Asia), Muhammad Kamarulazizi, yang juga penasihat projek Taman Dapur Saya, pembabitan sukarelawan untuk sesi ini amat memberangsangkan dengan penyertaan Persatuan Pengakap Kolej Twintech berbanding projek yang dijalankan pada 2008. "Pembabitan sukarelawan ini memudah dan melancarkan perjalanan program. Saya berharap agar lebih ramai sukarelawan menyertai program ini pada masa akan datang," katanya. Seawal jam 9 pagi, semua kanak-kanak dan sukarelawan berkumpul bagi pembahagian kumpulan supaya mereka dapat bekerjasama antara satu sama lain. Antara aktiviti dilakukan ialah membersihkan kawasan, membuat batas dan menanam anak pokok seperti pokok kari, kacang panjang, nanas, pisang dan serai. Sekitar jam 1 tengah hari, projek penanaman tumbuh-tumbuhan ini selesai diakhiri sesi penyerahan cenderahati dan sumbangan daripada Persatuan Pengakap Kolej Twintech kepada kanak-kanak Asdaf.
Menerusi program ini, Muslim Aid berharap agar projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan dan dapat dikembangkan di rumah kebajikan lain pada masa hadapan.
Pemilihan Asdaf sebagai perintis projek ini diharap membuka mata dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai alam sekitar dan pemakanan berkhasiat dalam menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/27