Rabu,01 Oktober 2014

Tangan hampir putus

IPOH: Seorang pekerja pusat pengurusan mayat hampir putus pergelangan tangan kanan selepas diserang dengan parang di pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa K Manivanan, 31, dikatakan sedang menguruskan mayat seorang rakannya sebelum diserang suspek 30-an dipercayai tidak berpuas hati kononnya mangsa mengambil pelanggannya.


Manivanan berkata, ketika kejadian dia baru selesai menguruskan mayat seorang rakannya sebelum tiba diserang dari belakang.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa apabila diserang dengan sebilah parang...akibatnya hampir seluruh badan bermandikan darah.


“Saya cuba mendapatkan bantuan dengan berlari ke pondok polis...mujur lelaki berkenaan tidak terus menyerang saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Katanya, doktor dan jururawat kemudian memberikan rawatan sebelum suspek yang bimbang perbuatannya dilihat oleh orang awam melarikan diri. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan menerima laporan berkenaan berkata, kejadian berlaku jam 10.30 malam berhampiran pintu masuk bahagian kecemasan di hospital berkenaan.

“Dalam kejadian itu, mangsa diserang suspek menyebabkan cedera parah di pergelangan tangan kanan dan luka di muka serta badan.


“Siasatan awal mendapati, mangsa diserang di luar hospital sebelum melarikan diri ke pondok polis dalam keadaan berlumuran darah akibat tetakan di leher, tangan dan beberapa anggota badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/22
`