Rabu,03 September 2014

Teknik solekan wajah bulat

Oleh Siti Zarinah Sahib

BAGI wanita berwajah bulat kesukaran memilih solekan sesuai terutama pada majlis pernikahan sering menjadi halangan untuk tampil yakin dan menawan pada hari bahagia. Apatah lagi detik bersejarah itu sentiasa dinantikan dan pastinya akan menjadi perhatian tetamu. Kesilapan dalam bersolek pastinya akan mencacatkan seluruh penampilan.

Ramai jurusolek profesional berpendapat, solekan untuk majlis akad nikah lebih mencabar daripada persandingan. Ini kerana gaya solekan perlu menampilkan keserian, keayuan dan keanggunan, tetapi tidak terlalu glamor.

Ini bermaksud pada majlis akad nikah, mempelai tidak memerlukan solekan tebal sebaliknya sederhana, semula jadi, tetapi menyerlah di mata tetamu. Dalam hal ini pemilihan warna alat solek paling penting. Kesalahan dalam mengadunkan rona sesuai kulit akan memberikan impak berbeza dan lari daripada tujuan asal mendapatkan solekan semula jadi.

Menurut jurusolek profesional Zaifinidza Zainal Abidin daripada Zaifie Zainal Creation, bagi pengantin berwajah bulat terdapat teknik berbeza dalam mengadunkan warna solekan. Bagi menutupi kekurangan wajah selain warna bedak asas teknik bayangan memainkan peranan utama.

Foto

SEBELUM...wajah Siti Nor Azim Zainal Abidin sebelum disolek.

Foto

BEDAK ASAS...bagi menutupi kekurangan wajah pilih bedak asas sedikit gelap daripada warna kulit. Rona gelap membantu wajah tampak lebih tirus.

Foto

MATA...pilih pembayang mata menggunakan dua gabungan warna. Kemudian serikan dengan maskara yang mampu menjadikan mata lebih segar dan galak.

Foto

PIPI...pilih pemerah pipi merah jambu kemudian sapukan pada bahagian tulang pipi untuk lebih menonjol.

Foto

KENING...pastikan kening dilukis cantik dan sempurna menggunakan celak pensil.

Foto

BIBIR...sapuan gincu dan pengilat bibir menjadikan bibir lebih menawan.

Foto

MANIS...walaupun mempelai berwajah bulat, teknik solekan mampu memberikan hasil menawan.


Untuk memberikan definisi pada wajah bulat, pilih bedak asas lebih gelap daripada warna kulit bagi menonjolkan bentuk wajah lebih tirus manakala warna coklat keemasan disapukan pada bahagian dahi, garis rahang dan leher.


“Ini boleh dilakukan dengan membuat sapuan pemerah pipi pada tulang pipi menggunakan berus besar, manakala untuk bayangan atau kesan tirus, berus panjang dipilih bagi menghasilkan garisan secara melintang bermula daripada dagu sehingga ke telinga. Bayangan dihasilkan menggunakan bedak asas lebih gelap daripada warna kulit mempelai,” katanya.

Selain bayangan, solekan mata turut memainkan peranan penting bagi mewujudkan kesan segar dan menawan. Zaifinidza yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang solekan memberitahu kebiasaannya untuk pernikahan, mempelai mengenakan busana polos daripada rona lembut seperti putih, krim , kelabu, perak, coklat cair, kuning susu atau merah jambu lembut.

Oleh itu pembayang mata harus bersesuaian tema busana. Pastikan solekan tidak terlalu garang dan terang. Biarlah semula jadi namun masih menonjolkan keaslian dan keayuan pengantin.

Solekan smokey dengan gabungan warna lembut, tidak terlalu tebal dan terang seperti campuran biru dan krim, perak dan coklat, ungu dan coklat yang dioles pada mata mempelai mampu memberikan kesan sempurna.

“Ini bersesuaian rona pakaian yang menonjolkan kesucian raja sehari begitu juga warna solekan agar tidak digunakan secara berlebihan sehingga mencacatkan penampilan,” katanya yang menasihati bakal pengantin supaya meminta pandangan jurusolek terlebih dulu bagi mengelak solekan tampak lebih berusia daripada usia sebenar.

Teknik terakhir yang tidak kurang pentingnya adalah pemilihan gincu yang menjadi pelengkap dalam solekan. Agar bibir tidak kelihatan terlalu ‘galak’ pilih warna merah jambu lembut atau merah hati yang kemudian dipudarkan dengan pengilat bibir bagi memberikan keseimbangan di antara solekan mata dan bibir.

“Walaupun nampak mudah, tetapi pemilihan warna yang tepat akan menjadikan wajah lebih sempurna serta menjadi perhatian tetamu,” katanya.

Selepas mendapatkan solekan yang tepat, mempelai dinasihatkan memilih tudung yang mampu membentuk wajah lebih tirus. Ini boleh diperoleh dengan memilih anak tudung bersengkuap kemudian tambahkan sedikit perhiasan diri bagi menyerlahkan keserian mempelai. Saat diijabkabulkan pasti jejaka tersenyum bahagia melihat penampilan pasangan yang bukan saja manis namun mampu memukau sesiapa saja yang memandang.


Solekan: Gorgeous Make-up by Zaifie Zainal atau zaifiezainalcreation.blogspot.com

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/20
`