Jumaat,18 April 2014

Tentera AS sedia serang Syria

Washington: Amerika Syarikat semalam menyusun kedudukan tentera lautnya di Mediterranean untuk memberi pilihan kepada Presiden Barack Obama melancarkan serangan tentera ke atas Syria.

Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel memberitahu wartawan yang mengikuti penerbangannya ke Kuala Lumpur, tentera laut Amerika Syarikat akan meningkatkan kehadirannya di kawasan perairan itu dengan empat kapal pemusnah berbanding tiga sebelum ini.


Beliau berkata demikian walaupun pegawai lain mengatakan Obama masih belum membuat keputusan mengenai sebarang tindakan ketenteraan.

“Jabatan Pertahanan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan pilihan kepada presiden bagi sebarang keadaan. Ia termasuk menyusun kedudukan tentera kami, aset dan keupayaan untuk melaksanakan sebarang bentuk pilihan, tidak kira pilihan yang akan diputuskan presiden,” katanya.


Di Washington, seorang pegawai pertahanan yang enggan dikenali berkata, kapal pemusnah yang dilengkap peluru berpandu, USS Mahan, sudah menamatkan tugasnya di Mediterranean dan dijadual belayar pulang ke pangkalannya di Norfolk, Virginia. Bagaimanapun, pemerintah Armada Keenam AS mengambil keputusan mengekalkan kapal berkenaan di rantau itu walaupun tidak menerima sebarang arahan supaya bersiap sedia untuk operasi tentera berkait dengan isu Syria.


Penasihat kanan keselamatan Obama bermesyuarat di Rumah Putih hari ini bagi membincangkan pilihan AS, termasuk kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap kerajaan Syria, kata seorang lagi pegawai.

Bagaimanapun, pegawai Jabatan Negara berkata, tidak ada keputusan muktamad dijangka diambil pada mesyuarat berkenaan kerana ia juga bergantung kepada kajian lebih lanjut terhadap perisikan mengenai serangan itu.


Obama teragak-agak untuk campur tangan dalam perang saudara di Syria yang sudah berlarutan sejak dua setengah tahun lalu. Dia mengulangi pendiriannya itu semalam.

Namun, dalam perkembangan yang mungkin akan meningkatkan tekanan ke atasnya, sumber keselamatan Amerika dan Eropah berkata, agensi perisikan AS dan sekutunya sudah membuat rumusan awal bahawa tentera Syria menggunakan senjata kimia dalam serangan di Damsyik baru-baru ini hingga menyebabkan 1,300 orang terbunuh. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/25
`