Rabu,24 September 2014

Tergamak tinggal anak di restoran

Kuching: Malang bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun apabila ditinggalkan ibunya di sebuah restoran di Jalan Gita di sini, semalam.

Kanak-kanak dikenali sebagai Tini Rashid ditinggalkan kepada seorang pekerja di restoran berkenaan pada jam 11 pagi dan ibunya berjanji datang mengambilnya sebaik urusan selesai.


Namun, selepas lebih 24 jam, ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Siti Aishah Abdullah, 32, tidak muncul.

Menurut pekerja restoran dikenali sebagai Milawati, 38, ibu kanak-kanak malang itu berpesan kepada seorang tukang masak restoran supaya menjaga anaknya sementara dia menghadiri kenduri kahwin di rumah saudara.


Katanya, tanpa curiga pekerja berkenaan mengambil tanggungjawab itu kerana menyangkakan ibu kanak-kanak berkenaan akan pulang dalam tempoh terdekat.


“Sehingga jam 6 petang, wanita itu tidak muncul dan saya membuat keputusan membawa dia pulang ke rumah sementara menunggu ibunya datang menjemput.

“Saya mengenali wanita itu dan dia tahu di mana rumah saya. Kanak-kanak ini ditinggalkan sehelai sepinggang dan saya memberikan baju kepadanya untuk lebih selesa,” katanya.


Milawati berkata, dia mengenali ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka mengutip barang kitar semula di sekitar kawasan restoran sebelum menjualnya.

Katanya, keluarga pasangan itu daif apabila menetap di rumah terbiar.


“Lebih 24 jam menunggu dan pasangan berkenaan tidak menuntut anak mereka, saya membuat keputusan melaporkan kepada polis,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kanak-kanak berkenaan diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Katanya, kanak-kanak itu di bawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
`