Selasa,29 Julai 2014

Thailand tumpuan rakyat Malaysia

KOTA BHARU: “Orang Malaysia? Memang sentiasa ada,” kata jurucakap sebuah klinik khusus untuk pembedahan plastik di Hat Yai, Thailand.

Jurucakap wanita itu berkata demikian ketika ditanya mengenai lelaki warga Malaysia yang melakukan pembedahan menukar jantina kepada wanita.


Menurutnya, tiada halangan untuk sesiapa saja mendapatkan khidmat menukar jantina di klinik berkenaan kerana mempunyai pakar untuk melakukan pembedahan.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa yang mahu melakukan pembedahan berkenaan perlu mengemukakan surat kebenaran daripada pakar sakit jiwa di negara masing-masing yang mengesahkan individu itu waras dan bersetuju melakukan pembedahan atas kerelaan sendiri.


“Untuk melakukan pembedahan, perlu mengadakan temujanji terlebih dulu. Apabila sudah bertemu doktor dan mahu menetapkan tarikh untuk dibedah, perlu bayar deposit.


“Harga pembedahan penukaran jantina adalah 100,000 Baht (RM9,977). Selepas dibedah, perlu ditempatkan di wad sekurang-kurangnya seminggu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Jurucakap itu berkata, selain pembedahan penukaran jantina, ada juga rakyat Malaysia yang turut mengambil kesempatan melakukan pembedahan plastik untuk mencantikkan wajah dan tubuh.

“Klinik ini turut menyediakan pelbagai pembedahan plastik lain, antaranya memancungkan hidung dan meruncingkan dagu. Kosnya antara 12,000 Baht (RM1,197) hingga 20,000 Baht (RM1,995).


“Pembedahan membesarkan payu dara juga disediakan dengan kos antara 40,000 Baht (RM3,990) hingga 60,000 Baht (RM5,986). Malah, ada juga pesakit kami yang selepas bedah tukar jantina terus buat bedah mencantikkan wajah dan tubuh dan ada pula yang datang semula melakukan pembedahan mencantikkan wajah dan tubuh beberapa bulan kemudian,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah dan latar belakang rakyat Malaysia yang melakukan pembedahan menukar jantina di klinik berkenaan, jurucakap itu tidak dapat mendedahkannya.


“Yang pasti, individu yang melakukan pembedahan menukar jantina adalah lelaki yang sudah lama berperwatakan seperti wanita. Mereka memilih Thailand kerana kosnya lebih rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/23
`