Khamis,02 Oktober 2014

Tiada susu tercemar di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa New Zealand mengesahkan ramuan 'Premix infant formula' atau 'follow-on formula' yang mengandungi 'whey protein concentrate' (WPC80) yang disyaki tercemar dengan bakteria clostridium botulinum tidak dieskport ke negara ini.


Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Noraini Datuk Mohd Othman ketika memaklumkan hal ini berkata hasil siasatan kementerian terhadap 16 syarikat berkaitan termasuk Fonterra Malaysia Sdn Bhd juga mendapati mereka tidak menggunakan ramuan 'whey protein concentrate' (WPC80) yang tercemar itu.


"Namun begitu, sehingga kini pihak berkuasa New Zealand masih belum dapat mengesahkan bahawa produk-produk Nutricia Karicare Stage 1 Infant Formula dan Nutricia Karicare Stage 2 Follow-on Formula telah dieskport ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Produk-produk itu tidak dibenarkan diimport ke negara ini melainkan dengan pengesahan daripada pihak berkuasa negara pengeksport bahawa produk itu bebas daripada clostridium botulinum," katanya.

Pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM di talian 03-88833652/03-88833653 atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan.

Sementara itu, Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd hari ini menjelaskan bahawa setakat ini tidak ada produknya diharamkan oleh KKM.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat itu berkata maklumat itu telah diteliti dan disahkan dalam perbincangan antara syarikat dan KKM pagi ini.

Ahad lepas, Danone Dumex secara sukarela memanggil semula susu terhad Dumex Dupro, Mamex Cheris dan Bebelac sebagai langkah berjaga-jaga.

"Danone Dumex telah menguji produk secara ketat setakat ini, dan tiada satu pun daripada kumpulan itu menunjukkan tanda-tanda pencemaran botulism," tambah kenyataan itu.

Ia menjelaskan bahawa kemungkinan protein pekat (WPC80) hanya terhad kepada kumpulan tertentu Dumex Dupro Step 2, Mamex Cherus Step 1, Mamed Explore 2 dan Bebelac 2.

"Semua kumpulan lain benar-benar selamat untuk dimakan dan semua produk lain dari Danone Dumex juga selamat," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/07
`