Isnin,17 Februari 2014

Tiga maut dalam kemalangan bas berdekatan Kampung Paris

KINABATANGAN: Kegembiraan 38 penumpang termasuk 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba berakhir tragedi apabila bas dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik beberapa kali menyebabkan tiga penumpang maut.

Kejadian kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 121, Jalan Sandakan-Lahad Datu berdekatan Kampung Paris 2, dekat sini, awal pagi semalam turut membabitkan empat parah dan menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi, tiga mangsa mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kinabatangan manakala 17 cedera menerima rawatan di Hospital Lahad Datu, selebihnya di Hospital Kinabatangan dan Hospital Duchess of Kent.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jabar Maidin, 54, dipercayai bekerja di Melaka dan pulang cuti sempena perayaan Aidilfitri di Tawau, manakala dua mangsa adalah anak beranak dikenali sebagai Usman Sulaiman dan anaknya Pian Ardian Shah berasal dari Kampung Sungai Tongkong, Tawau.


Tiga lagi mangsa cedera parah kini dirawat di Hospital Kinabatangan dan Lahad Datu sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut. Mangsa yang cedera dikenali sebagai Fridde Manggaus, 20, Beneditus Roga, 27, dan Rahamiati Nurdin,35.


Difahamkan, bas berkenaan cuba memotong kenderaan dihadapan, namun gagal lalu hilang kawalan sebelum terbalik.

Sebelum terbabas, bas malang itu bertolak kira-kira jam 8 malam dari Terminal Bas Bandaraya Utara, Inanam, dalam perjalanan ke Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/16
`