Rabu,03 September 2014

Tiket KL-London bawa ke penjara

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin, 60, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM15,110 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menerima rasuah tiket penerbangan bernilai RM3,022, tujuh tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin turut mengarahkan Shahoran dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan tidak membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan untuk membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.


Tertuduh yang kelihatan sugul dengan keputusan itu dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani perintah hukuman berkenaan berkuat kuasa semalam.

Di mahkamah sama, Shaharon pernah dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan berkenaan pada 30 Ogos 2010, bagaimanapun pihak pendakwaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Ghafar Abdul Latif membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah memutuskan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen.


Shahoran yang diwakili peguam bela, Wong Kian Kheong didakwa menerima tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke London bernilai RM3,022 daripada seorang kontraktor, Yaacob Hassan melalui adik tertuduh, Azizi Johan Ariffin.

Ia sebagai dorongan memberikan kerja projek Taman Putra Perdana kepada Fortress Synergy Sdn Bhd dimiliki Yaacob melalui Kenas Prima Sdn Bhd.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di KL International Hotel, di sini, pada 4 hingga 5 Mei 2005 yang mana ketika itu tertuduh adalah Timbalan Pengarah Bahagian Landskap dan Taman Awam, Bahagian Perancangan Bandar, Perbadanan Putrajaya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Lelaki itu turut didakwa atas tuduhan pilihan menerima rasuah daripada Yaacob yang diketahuinya adalah pemilik syarikat Fortress Synergy Sdn Bhd yang ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai pengerusi Mesyuarat Penilaian Tender bagi kerja penyelenggaraan projek Taman Putra Perdana di Putrajaya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/29
`