Selasa,29 Julai 2014

Tipu ibu bapa untuk bersama suami

SAYA dan suami berkahwin di Thailand pada tahun lalu. Kami masih lagi merahsiakan perkahwinan daripada pengetahuan ibu bapa saya.

Pada masa sama, keluarga suami saya mengetahui hal ini dan mereka menerima saya dengan baik. Persoalannya, saya sering membelakang­kan keluarga saya untuk
bersama suami.


Saya terpaksa menipu ibu bapa saya tidak dapat pulang ke kampung kerana ada urusan lain. Padahal, saya terpaksa berbuat demikian untuk bersama dengan suami. Keluarga saya tidak suka suami saya itu.

Adakah saya berdosa kepada mereka berdua sedangkan saya terpaksa berbuat demikian untuk bersama dengan suami saya?

KAK JI,
Selangor




PERBUATAN menipu lebih-lebih lagi termasuk terhadap ibu bapa sendiri termasuk dalam kategori dosa terhadap manusia. Ia termasuk dalam akhlak buruk. Anda berdua sepatutnya bersikap jujur dengan ibu bapa.

Dalam kes anda di atas, saya berpendapat anda dan suami perlu berterus terang kepada ibu bapa mengenai perkahwinan itu.

Walaupun ia amat berat untuk dilakukan dan seterusnya diterima keluarga, anda perlu lakukan kerana lambat laun ia akan diketahui.

Dengan berbuat demikian tentu ibu bapa dapat memaafkan anda berdua sama ada cepat atau lambat. Seterusnya anda berdua hidup dalam keadaan tenteram.

Ia ditambah dengan status perkahwinan di luar Negara termasuk di Thailand adalah sah apabila memenuhi syarat-syaratnya. Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 pada 1 Julai 2002 hukum nikah di luar Negara termasuk kahwin di Thailand adalah sah dengan syarat :

1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah;
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah (89 kilometer);
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia ber­mastautin;
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kahwin-lari-di-selatan-thailand-0).

Apa yang perlu anda berdua lakukan ialah mendaftarkan perkahwinan itu de­ngan pihak berkuasa negeri di tempat anda tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08
`