Khamis,02 Oktober 2014

Tolak tuntutan

Pihak berkuasa Thai menolak tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membebaskan semua tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional, Lt Jeneral Paradorn Pattanatabut memberitahu demikian kepada wartawan semalam selepas berunding dengan wakil BRN di Kuala Lumpur kelmarin.


Menurutnya, dalam rundingan itu, Ketua Perhubungan BRN, Hassan Taib mengemukakan tuntutan pengampunan beramai-ramai untuk pejuang pemisah yang tertumpu kepada empat perkara iaitu menarik balik waran tangkap terhadap suspek pejuang, membebaskan tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu, menarik balik kes yang tertunda terhadap suspek pejuang dan membatalkan senarai hitam suspek pejuang.

Paradorn berkata, beliau menolak tuntutan membebaskan tahanan sementara tiga lagi tuntutan akan dibincangkan dengan Kementerian Kehakiman dan agensi berkaitan yang lain.


Mengenai gesaannya supaya pejuang pemisah itu mengecualikan orang awam sebagai sasaran, Hassan berikrar untuk cuba meyakinkan kumpulan pemisah lain supaya mengekang keganasan.


Wakil BRN itu bagaimanapun mengaku sukar untuk memujuk kumpulan lain yang menentang rundingan damai itu untuk mengurangkan serangan mereka, kata Paradorn yang mengetuai sembilan wakil kerajaan ke rundingan itu.

Kumpulan pemisah pula diwakili enam anggota daripada Penyelaras BRN, Kongres BRN dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo).


Kedua-dua pihak sebelum ini dikatakan akan menghantar masing-masing 15 wakil, termasuk perwakilan daripada sembilan kumpulan pemisah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30