Khamis,31 Julai 2014

Usah lepas!

Oleh Norrasyidah Arshad

SHAH ALAM: Sikap lepas tangan penternak lembu yang membiarkan haiwan ternakan mereka sesuka hati meragut rumput boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di Persiaran Panglima Hitam, Alam Impian, di sini.

Disebabkan itu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati berikutan kehadiran lembu di bahu jalan yang boleh menyebabkan kemalangan. Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sekumpulan lembu berkeliaran di bahu jalan manakala sekumpulan lagi meragut daun pokok ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Pengguna jalan raya, Siti Rohaiza Abdul Khalid, 25, berkata, sikap tidak bertanggungjawab penternak lembu membiarkan ternakan mereka berkeliaran di kawasan itu mengundang risiko kemalangan.

Katanya, penternak terbabit tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa kawalan kerana ia mengganggu ketenteraman awam dan mengancam nyawa pengguna jalan raya lain. “Aliran trafik di sini sentiasa sibuk walaupun pada waktu malam kerana ini jalan utama menghubungkan taman perumahan dengan jalan utama ke Shah Alam atau Klang.


“Sepatutnya haiwan ternakan itu ditempatkan di kawasan padang ragut yang berpagar supaya tidak terlepas dan berkeliaran hingga ke jalan raya,” katanya.


Penduduk, Mohd Danial Daud, 36, berkata, lembu yang dibiarkan berkeliaran turut menyebabkan jalan raya di situ turut dipenuhi dengan najis haiwan itu. Beliau berkata, tidak sepatutnya kawasan perumahan yang baru dibuka selain landskap persekitaran indah dihiasi dengan pencemaran najis haiwan yang mencemarkan pemandangan dan mengganggu keselesaan penduduk.

“Sayang rasanya jika kawasan baru dan mempunyai pemandangan cantik tercemar dengan masalah ini. Ditambah pula dengan status Shah Alam sebagai Bandar Dalam Taman, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.


“Perkara ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi penternak sendiri perlu lebih bertanggungjawab dan tidak hanya lepas tangan. “Mereka harus mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka selain menyediakan kandang di tempat yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil satu masa nanti, lembu berkenaan akan memasuki Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan kerana kedudukannya hampir dengan kawasan haiwan itu dibiarkan berkeliaran.


Katanya, awal tahun ini tiga pengguna jalan raya mengalami kemalangan apabila kenderaan yang mereka naiki terlanggar dua ekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan terbabit.


“Kehadiran lembu yang berkeliaran ini cukup membimbangkan kerana pemandu kenderaan terpaksa membrek secara mengejut ketika mengelak ia melintas jalan, sekali gus meningkatkan risiko berlaku kemalangan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA sudah mengeluarkan notis kepada penternak haiwan berkenaan berhubung masalah itu.


Menurutnya, tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) boleh diambil dan penternak yang gagal mengikut undang-undang yang ditetapkan akan dikenakan kompaun selain tindakan lanjut yang diambil MBSA bagi mengatasi masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28
`