Isnin,01 September 2014

Ziana sayang peminat

Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

TEMPOH lebih 20 tahun dalam bidang seni pasti mematangkan setiap selebriti. Bagi Siti Roziana Zin, nama pentasnya Ziana Zain bukan asing di telinga masyarakat tempatan malah sudah melangkau ke rantau Asia Tenggara mengharumkan nama negara melalui beberapa pertandingan dan festival seni yang disertainya.

Antaranya Pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan, Festival Ratu Pop Asia di Fukuoka dan Hiroshima, Konsert Muzikal Asia Live NHK, Jepun dan beberapa lagi negara Asia lain seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.

Jika diteliti portfolio seninya, hampir mampu memenuhi setiap helaian untuk dibukukan sebagai rujukan. Baik nyanyian mahupun lakonan, peminat dapat menyaksikan bakat Ziana.

Resipi kejayaan merangkul anugerah dan pencapaian membanggakan pasti bukan usaha sebelah pihak. SELEBRITI mendekati isteri kepada Armin Zaharin dan ibu kepada empat anak ini untuk berkongsi serba sikit rasa dan kisah sepanjang bergelar orang popular.


  • Rahsia Ziana terus bertahan?

    Hati ikhlas dan jujur pada diri sendiri menjadi pegangan saya dalam menyusuri perjalanan sebagai anak seni. Tanpa mengenal penat atau bosan, sokongan dan jeritan peminat daripada pelbagai lapisan sering mendorong saya untuk terus memacu karier seni selama lebih 20 tahun.

    Selain ibu bapa dan rakan, peminatlah yang menjadikan diri saya terus berdiri hingga hari ini.

    Tanpa mereka, umpama masakan tanpa garam atau minuman tanpa gula yang menjadi pelengkap hidangan.

    Jangan ambil mudah sokongan peminat kerana mereka yang menentukan kejayaan dan kelangsungan saya dalam meneruskan karier seni yang dicintai. Kesetiaan mereka mampu mengubah diri kita ke tahap yang tak mampu tercapai. Saya bersyukur kerana mereka sering berdiri bersama saya dan terus setia hingga sekarang.

    Bukan semua insan dianugerahkan bakat sebegini dan ia perlu dijaga sebaik mungkin. Jatuh bangun anak seni juga perkara biasa. Dalam hal ini, saya berserah pada qada’ dan qadar Allah.

    Perlu ingat, dugaan itu diberi sebagai tanda kesedaran supaya kita sering beringat dan tabah menempuh kehidupan yang dipilih.

    Dugaan paling mencabar jiwa tatkala nama saya dikaitkan dengan gosip tidak berasas hingga mampu menjatuhkan maruah saya sebagai insan. Diimbas kembali ketika nama sedang melonjak, saya pernah dikaitkan dengan gosip cinta dan kisah peribadi yang ibarat jauh panggang daripada api.

    Nak tak nak, saya harus tempuhi kerana itu sebahagian daripada ranjau yang perlu dilalui. Saya hanya mahu meneruskan cinta dalam bidang seni ini dengan selesa. Alhamdulillah, kini saya lebih matang dan hanya tersenyum tatkala mendengar gosip yang tak berasas.

    Suami dan anak-anak juga banyak memberikan dorongan. Merekalah yang memberikan kekuatan kepada saya untuk terus memperbaiki taraf kehidupan kami sekeluarga.


  • Komen Ziana sering dikaitkan dengan peminat golongan lembut.

    Saya akui ramai peminat saya terdiri daripada golongan ‘adik-adik’. Setiap kali saya membuat persembahan di mana-mana saja, mereka pasti ada. Malahan imej saya hampir menjadi ikutan mereka, sama ada cara berpakaian, solekan, rambut dan gaya semuanya dijadikan inspirasi.

    Tambahan pula, saya sering bertukar imej untuk memberi kelainan dan ‘feel’ berbeza kepada peminat. Begitupun, sebagai insan biasa, saya tidak boleh halang mereka kerana itu adalah hak masing-masing untuk menjadi apa yang mereka mahu.

    Tugas saya hanya hiburkan peminat dan ia adalah satu nikmat tatkala melihat mereka terhibur menonton persembahan saya. Seperti dikatakan awal tadi, saya sering mengingatkan diri saya sendiri bahawa peminat yang menentukan jatuh bangun saya dalam kerjaya seni. Tanpa mereka, saya tidak akan terus berada di sini.

    Selain mereka, saya juga bersyukur kerana turut diikuti masyarakat desa sejak dulu. Mungkin kerana sering mengadakan persembahan di kawasan pedalaman satu ketika dulu membantu membina nama saya ke segenap lapisan masyarakat.


  • Bidang lakonan dan nyanyian, sampai bila?

    Selagi hayat dikandung badan, selagi masih diberi kekuatan dan peluang untuk terus berkarya, saya akan teruskan. Kedua-dua bidang ada kelebihan tersendiri yang memberi kesan kepada hidup saya. Bagaimanapun, nyanyian tetap diutamakan kerana di situ saya bermula.

    Cuma bidang lakonan bergantung kepada rezeki kerana sejak berkeluarga, saya perlu fikirkan semua aspek. Anak-anak sedang membesar dan perlukan perhatian ibu bapa mereka, jadi semua itu saya perlu ingat.

    Jika anak-anak ingin mengikut jejak langkah saya sekalipun, saya akan pastikan mereka berada di landasan yang betul. Bagaimanapun, saya harap tidak ada yang akan menjadi seperti saya.

    Sebagaimana diketahui, lakonan memerlukan komitmen tinggi dan jika kena pada masa ketikanya, saya akan teruskan. Ikut perancangan, mulai tahun depan saya mungkin sibuk dengan pelbagai projek termasuk lakonan, namun semuanya bergantung kepada rezeki.

    Impian saya ingin menunaikan haji serta memiliki rumah banglo sendiri dan melihat anak-anak membesar dengan suasana serba selesa, itu yang penting kini. Apabila semua itu sudah tercapai, maka segala impian saya akhirnya terlaksana. Insya-Allah.

    Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/05
  • Artikel Lain

    `