Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Layari »
Jumaat, 19 Mac 2010

Cemburu Aznil

Oleh FIRDAUS SAHAT

2010/01/03
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TIDAK dinafikan, Nabil agak cemburu melihat kejayaan pengacara nombor satu tanah air, Aznil Nawawi. Malah, pernah juga terdetik di hatinya untuk menyaingi kredibiliti selebriti terkenal itu.

Melihat bagaimana Aznil membina nama dan populariti daripada awal pembabitannya sehingga kini sudah cukup membuatkan Raja Lawak Musim Ketiga ini iri hati.

Jika ada yang terkejut dengan kenyataan ini, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad meminta jangan terlalu cepat membuat kesimpulan.

Kata Nabil, cemburunya pada kejayaan Aznil adalah daripada sudut positif, malah dia menganggap Aznil idola yang mahu dicontohinya.


"Saya amat meminati Aznil. Malah, saya turut melakukan kajian bagaimana dia mampu mengecapi kejayaan dalam bidang ini.

"Dulu, Aznil bermula sebagai pengacara Pop Kuiz. Sejak itu, dia memberanikan diri mencuba sesuatu yang baru dan kini, benih yang ditanam akhirnya membuahkan hasil walaupun ia memakan masa berbelas tahun.

"Inilah yang saya cemburukan. Dia seorang yang tabah. Sepanjang memasuki dunia hiburan, cabaran yang perlu ditempuhinya bukan calang-calang. Tetapi akhirnya, dia berjaya mendapatkan apa yang diinginkan.

"Sehingga kini, siapa yang tidak tahu mengenai program kendalian Aznil? Rasanya, semua sedia maklum dengan programnya yang pelbagai," katanya.

Tambah Nabil, dia juga mahu berjaya seperti idolanya itu. Namun, dia sedar jalan yang perlu ditempuhi bukan mudah. Malah, semuanya itu turut terpulang kepada soal rezeki.


"Saya hanya mampu merancang dan kejayaan itu tidak datang bergolek. Jika ada usaha, ia tidak mustahil untuk diperoleh. Lagipun, rezeki itu ada di mana-mana.

"Apapun, saya akan berusaha gigih untuk mencapainya. Saya mahu jadikan kejayaan Aznil sebagai landasan untuk terus bergerak dalam dunia seni ini. Walaupun ia memakan masa yang agak lama dan mungkin berpuluh tahun dari sekarang, saya rela menunggunya," katanya berjenaka.

Menurut Nabil, Aznil menjadi diri sendiri dalam setiap program yang dikendalikannya dan langkah itulah yang mahu diikutinya.

"Kini, Aznil cukup terkenal dengan program berunsurkan kanak-kanak. Dalam program itu pula, dia tidak perlu berlakon menjadi orang lain sebaliknya hanya membawa perwatakan sebenar.

"Jadi, saya juga perlu menjadi diri sendiri dalam setiap program yang saya hoskan. Sedikit gila-gila dan tabur lawak jenaka mungkin dapat memikat penonton. Tapi saya sedar, bukan mudah nak tarik perhatian orang dan banyak lagi yang perlu saya pelajari, " kata anak jati Mambau, Negeri Sembilan ini.

Seperti idolanya itu, Nabil turut mengacarakan program berbentuk kanak-kanak berjudul Pondok-Pondok yang disiarkan menerusi TV9. Katanya, bukan mahu meniru gaya persembahan Aznil sebaliknya ia menjadi cabang untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang seni.

"Aznil sudah sedia maklum dengan program kanak-kanaknya dan dia begitu popular dengan program berkenaan. Jadi, saya cuba mengikut jejak langkahnya.

"Ini tahun kedua saya bersama Pondok-Pondok. Mulanya, saya ingatkan kerja Aznil mudah tetapi sebenarnya tidak. Berkerja dengan anak kecil ini cukup payah.

"Mahu melayan kerenah, ragam dan mood berbelas orang itu kadang-kadang memeningkan kepala juga. Namun bila sudah biasa, ia berubah menjadi satu keselesaan dan saya seronok melakukannya.

"Insya-Allah, siapa tahu jika program ini meletup, saya juga mampu menjadi seperti Pak Nil yang digilai ramai kanak-kanak," katanya berjenaka.

Berbicara mengenai program program Raja Lawak yang memasuki musim terbaru, Nabil menjelaskan dia tidak pernah risau jika penerimaan penonton terhadap dirinya mula pudar. Bukan kerana ego mahupun berlagak sombong, sebaliknya dia mempunyai peminat sendiri yang setia menyokongnya.

"Jujurnya saya tidak pernah rasa tergugat dengan persaingan yang bakal diterima. Lagipun bakat saya dicungkil menerusi Raja Lawak musim kedua dan sekarang sudah memasuki musim keempat. Saya masih di sini, malah penerimaan peminat masih utuh.

"Ini membuktikan persaingan langsung tidak menjejaskan populariti yang diterima. Setiap kali membuat mana-mana persembahan, sambutan yang diterima daripada peminat amat menggalakkan.

"Tambahan pula, pentas seni kita kekurangan bakat pelawak yang berkualiti. Jadi, bakal juara Raja Lawak musim ini dapat memenuhi kekosongan itu.

"Lagipun, saya sudah merasakan kehidupan bergelar anak seni, Juara program Raja Lawak dan banyak lagi yang nyata mengubah hidup saya. Jadi, biarlah orang lain pula berpeluang merasainya," katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial