MOHAMAD NOR sudah dua tahun meniaga juadah berbuka di kolej kediaman.
ARINA di gerai bazar Ramadannya di Bazaria Pantai.
CHAN mango lolo yang dihasilkan Arina untuk dijual.
ARINA turut menyediakan perkhidmatan penghantaran
WAN Ahmad Khidhir. Gambar kanan, Antara servis yang diberikan kepada pelanggan iaitu album perkahwinan.
WANI (kiri) bersama pelanggannya di kolej
Fazurawati Che Lah dan Amri Mutalib
rencana@hmetro.com.my


Ramadan bukan saja memberi kelebihan dari segi ganjaran ibadat malah menjadi bulan rezeki bagi sebahagian besar masyarakat termasuk mahasiswa untuk menjana pendapatan tambahan.

Pelbagai produk termasuk pakaian, makanan dan barangan perhiasan menjadi buruan masyarakat pada bulan ini kerana semuanya ingin yang baru tatkala menyambut lebaran nanti.

Jika ke bazar Ramadan pula, pelbagai juadah terhidang yang mampu menarik selera pembeli.

Maka tidak hairanlah, senario penuntut pengajian tinggi berniaga di bazar Ramadan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan seolah-olah menjadi profesyen tetap siswa sebaik bulan mulia ini tiba.

Biarpun dilabel peniaga ‘bidang terjun’ atau lebih sesuai usahawan Ramadan, mereka berani mengambil kesempatan itu kerana percaya mampu meraih pendapatan berlipat kali ganda.

Segelintir mereka bijak mempromosikan produk jualan sama ada atas talian (online) seperti Instagram atau Facebook.

Tapi ada juga yang membuka gerai di bazar Ramadan untuk menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Bagi mereka, pendedahan diperoleh melalui aktiviti itu menyuntik manfaat besar dalam pelbagai aspek kerana hasil dapatan atau ‘duit poket’ berkenaan digunakan untuk kepentingan masa depan termasuk perbelanjaan sepanjang pengajian.

Penuntut Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, Nor Arina Mokhtar, 25, menjalankan perniagaan jus buah mangga kisar (blended) atau dikenali Chan Mango Lolo yang memasuki tahun kedua di Bazar Ramadan Bazaria Pantai.

Biarpun berstatus anak tunggal yang sering dianggap kemanjaan ibu bapa, anak muda dari Kuantan, Pahang ini gigih membuktikan kemampuan berdikari dan enggan hanya bergantung kepada pemberian wang saku oleh orang tua, tambahan pula berpeluang meraih pulangan lumayan serta menimba pengalaman menyeronokkan.

Beliau yang kini mengikuti pengajian Sarjana Sains (Matematik) di Fakulti Sains, ternyata tidak kekok berikutan gemar berniaga terutama ketika musim konvokesyen.

Bagaimanapun, sebagai peniaga muda, katanya, beliau perlu ada strategi tersendiri untuk melariskan produk jualan, antara lain memastikan penggunaan buah-buahan segar, jus tanpa bahan pengawet dan tawaran harga menarik hanya RM4 sebungkus.

“Tahun lalu saya berniaga cucur jagung bersama rakan di Bazar Ramadan Wangsa Maju, tapi pada tahun ini kami memilih untuk menambah satu lagi menu baru iaitu ais blended kerana minuman itu makin digemari.

“Berbekalkan wang simpanan RM300, saya membeli alatan yang diperlukan seperti mesin pengisar, cawan dan alatan diperlukan. Bagi memastikan jus itu berkualiti dan segar, mangga hanya dibeli pada hari berniaga sahaja,” katanya.

Menurut Arina yang turut menjalankan perniagaan bekam bergerak berkata, hasil pendapatan daripada kedua-dua sumber itu disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan dan keperluan diri.

Sementara bagi seorang lagi penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah Fakulti Alam Bina UM, Mohamad Nor Saufi Mohd Khairul Anuar, 22, berkata, beliau dan tiga rakan meneruskan perniagaan menjual juadah berbuka di sekitar kolej kediaman di universiti awam (UA) itu.

“Kesukaran mendapat juadah berbuka menyebabkan kami berempat mengambil peluang untuk memasak makanan dan menjualnya kepada penghuni kolej kediaman.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma kepada penghuni yang memesan melalui WhatsApp,” katanya.

Memasuki tahun kedua menjalankan perniagaan itu, dia gembira kerana mendapat kebenaran pihak kolej kediamannya untuk menggunakan peralatan dapur serta ruang untuk memasak.

Setiap hari kira-kira empat juadah disediakan meliputi masakan berat berasaskan nasi serta lauk dan masakan ringan seperti kuih muih.

“Sekitar jam 4 petang, kami berempat akan mula masak selama dua jam setengah untuk semua jenis menu sebelum didatangai pelanggan yang kebanyakan penghuni kolej kediaman.

“Setengah jam sebelum berbuka pula kami akan menghantar makanan yang dipesan kepada penuntut sekitar UM,” katanya.

Katanya, bertuah kerana rakannya pandai memasak dan dalam sehari mereka memperoleh sekitar RM200 hasil dari jualan juadah itu.

Katanya setakat ini, aktiviti itu tidak menganggu proses pengajian mereka, sebaliknya mereka bekerjasama dan saling membantu menyediakan masakan sekiranya ada antaranya mereka terpaksa pulang lewat dari kelas.

Katanya, berdasarkan pengalaman berniaga pada tahun sebelum ini, dia memperoleh pendapatan lumayan sepanjang Ramadan apabila meraih lebih RM2,000.

Mampu dapat RM1,500 sebulan

Tidak dinafikan dalam kalangan penuntut universiti, mereka berjaya mencari pendapatan sampingan bagi membantu pembelajaran serta keperluan dan kemahuan yang diingini.

Bagi penuntut Ijazah Sains Gunaan Universiti teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Siti Syazwani Abd Razak (Wani), 25, membabitkan diri dalam perniagaan secara dalam talian (online) dengan menjual kek brownies sejak setahun lalu.

Menurutnya, dikenali dengan Seitts Kitchen, usahanya itu membuahkan hasil apabila ramai permintaan dari kalangan rakan, pensyarah dan kakitangan universiti.

Gadis berperwatakan lembut ini mengakui meraih pendapatan RM200 seminggu dan boleh mencecah RM1,500 sebulan.

“Alhamdulillah, kalau tidak rajin komersialkan produk, saya tidak akan mendapat pendapatan sebanyak ini lebih-lebih lagi sekarang masih belajar dan memerlukan pengeluaran wang yang banyak untuk pembelajaran,” katanya.

Walaupun tidak mendapat mana-mana tajaan, dia tidak bergantung harap wang saku yang diberikan oleh ibunya.

“Lagipun, saya tidak suka menyusahkan ibu dan hanya bergantung dengan sepenuhnya kepada mereka,” katanya yang menuntut pengajian di semester akhir.

“Namun, duit pembelanjaan yang diberikan cukup membayar yuran dan buku malah ada kalanya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan lain saya di kampus,” katanya.

Menurut gadis berasal Alor Setar Kedah ini, penghasilan brownies tidak mengambil masa yang terlalu lama sekali gus tidak mengganggu sesi pembelajaran sewaktu kuliah.

“Untuk bulan puasa, saya akan membakar brownies dalam dua masa iaitu selepas Zohor dan Tarawih supaya pemanis mulut yang dihasilkan sentiasa berkualiti.” Katanya.

Bagi Wani, pelajaran tetap diutamakan dan disebabkan itu dia harus bijak membahagikan masa antara belajar dan berniaga pada setiap hari.

“Walaupun saya bercita-cita untuk membuka kedai kek suatu hari nanti, saya perlu menumpukan perhatian terlebih dahulu terhadap pengajian ijazah sehingga tamat,” katanya.

Lain pula bagi seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor, Wan Ahmad Khidhir Haithar Zulkiflee, 23, apabila hobi mengambil gambar dan video kini beri perkhidmatan videografi dan fotografi.

Perniagaan diberi nama The Shades Of Philia itu ditubuhkan sejak dua tahun lalu memberi khidmadi majlis korporat dan santai.

“Untuk sebulan, perkhidmatan fotografi dan videografi yang saya berikan adalah seperti di majlis perkahwinan, muzik indie dan korporat tidak kira di dalam mahupun di luar kampus,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai ‘freelance’ akan mengehadkan kepada satu kerja dalam sebulan disebabkan tidak mahu menggangu pembelajaran dan tugasan yang diberikan pensyarah.

Pendapatan bersihnya yang mencecah RM1,500 sebulan itu membolehkannya menampung pembelanjaan semasa belajar kerana bidang senibina memerlukan wang yang banyak untuk setiap tugasan.

“Dengan pendapatan itu, sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan pembelajaran apabila kadang-kadang tiket penerbangan diperlukan untuk melakukan tugasan di luar kampus,” katanya.

Lebih mesra dipanggil Haithar, perniagaan yang pada mulanya sekadar minat dan dijalankan seorang diri kini berkembang maju atas bantuan sahabat yang turut menjadi rakan kongsinya.

“Minat bermula sewaktu diploma lagi, kemudian ambil sedikit demi sedikit perkhidmatan dari pelanggan terdekat, tetapi selepas nampak berkembang sedikit, tidak dapat menguruskan dengan sendiri, sebab itu, saya perlukan tenaga kerja,” katanya.

Pupuk sifat keusahawanan mahasiswa

Jika dilihat dari aspek keperluan diri mahasiswa masa kini, sememangnya ada benarnya keperluan kewangan itu diletakkan di carta teratas. Ini kerana hampir keseluruhan aspek keperluan mereka boleh didapati atau dimudahkan jika tiadanya kekangan kewangan.

Sebagai remaja yang sedang belajar menjadi dewasa, seseorang mahasiswa mempunyai banyak keinginan berbanding keperluan yang dihajatinya. Tidak dapat tidak, hampir semuanya memerlukan wang untuk mendapatkannya di dalam senario hidup masa kini.

Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, satu kaedah terhampir bagi seseorang mahasiswa mendapatkan pendapatan sampingan adalah menjadi usahawan yang berniaga secara kecil-kecilan.

Jelas beliau, selain keuntungan secara langsung bagi mendapatkan pendapatan sampingan yang bakal memenuhi keperluan diri, keberanian untuk menjalankan perniagaan ketika masih belajar terutama menjelang Ramadan bakal memupuk sifat keusahawanan di dalam diri mahasiswa.

“Menariknya, pemupukan sifat keusahawanan di dalam siswa menduduki tempat pertama di antara 10 lonjakan yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 bagi mencapai aspirasi pembangunan mahasiswa yang holistik dan cemerlang.

“Sifat keusahawanan yang dimaksudkan di sini meliputi sifat berani ke hadapan, tabah menghadapi cabaran, tegas dalam membuat keputusan, dan banyak lagi sifat sahsiah diri yang baik dan diperlukan untuk seorang graduan di abad ke-21 ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM berkata, biar setinggi mana sekali pun kepentingan untuk mendapatkan sesuatu perkara yang baik di dalam diri seseorang mahasiswa, tidak seharusnya mengetepikan tanggung jawab yang sedia ada.

“Tanggung jawab kepada diri sendiri, keluarga, dan pihak berkepentingan lain seharusnya menjadi perkara yang diutamakan.

“Malah, jika dilihat dari aspek aspirasi KPT itu sendiri, yang dimahukan adalah pembinaan sifat keusahawanan di dalam diri seseorang mahasiswa dan bukannya diukur dari segi kejayaan jenis perniagaan yang diceburi.

“Jika usaha mendapatkan wang saku tambahan mampu membantu ke arah pembinaan sifat itu, maka ini seharusnya digalakkan. Ini kerana pemupukan sifat di dalam diri bergantung sepenuhnya kepada individu terbabit, termasuk aspek motivasi dan keyakinan diri,” katanya.

Katanya, jika usaha perniagaan sampingan ini hanya menambah beban sedia ada di bahu mahasiswa, selain memindahkan fokus individu terbabit daripada tanggungjawab mereka yang sebenar, usaha ini bukanlah sesuatu yang perlu diberikan keutamaan.

Katanya, biarpun pemupukan sifat keusahawanan itu penting, kepentingannya sebagai nilai tambah kepada sahsiah diri yang baik tidak seharusnya mendahului pelangsaian tanggungjawab seseorang, yang seharusnya lebih bersifat fundamental.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 12:54 PM