DR Abu Bakar (dua dari kiri) melawat tapak pameran ITEX 2017 di Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2017 terus menjadi platform pereka tempatan mengetengahkan rekaan dan inovasi ke peringkat global.

ITEX ke-28 kali ini bakal menghimpunkan lebih 1,000 rekaan dan inovasi dari 24 negara di seluruh dunia.

Presiden dan Pengasas Persatuan Rekabentuk dan Rekacipta Malaysia (MINDS) Tan Sri Prof Emeritus Dr Augustine Soon Hock Ong berkata, ITEX 2017 menampilkan bukan saja pereka, malah pelabur, individu dan korporat.

“Tahun ini, ITEX memberi tumpuan terhadap pengkomersialan dan keusahawanan serta menerima sambutan memberangsangkan dari luar negara.

“Selain itu, ITEX 2017 turut menampilkan Startups Showcase untuk membantu syarikat permulaan menembusi pasaran,” katanya di majlis pembukaan ITEX 2017 di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Augustine berkata, pameran ini mendapat penyertaan menggalakkan daripada peserta luar negara dan menjadi perkembangan positif bagi industri rekaan dan inovasi di negara ini.

Antara negara yang turut serta dalam ITEX 2017 ialah Bahrain, China, Mesir, England, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iran, Korea, Kuwait, Oman, Filipina, Poland, Qatar dan Romania, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Taiwan, Sri Lanka, Thailand, Turki, Emeriah Arab Bersatu dan Vietnam.

Menurutnya, di ITEX 2017, syarikat penyelidikan dan syarikat baru berpeluang mempelajari mengenai perniagaan terbaik menerusi pelbagai aktiviti.

“Sebagai contoh, Pitch4Fund menyatukan pelabur dan pencipta dalam menyediakan dana bagi menyokong penemuan terbaru. Startups Talks pula menjadi lubuk pengetahuan bagi syarikat baru bertapak,” katanya.

ITEX 2017 berlangsung selama tiga hari hingga 13 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sepanjang penganjuran acara 3-hari ITEX 2017, antara program disediakan ialah ‘Venture Capital to Entrepreneur Talk’, Sesi Pemadanan Perniagaan dan Pameran Seni dan Kreativiti.

Untuk maklumat lanjut mengenai ITEX, layari www.itex.com.my atau Laman FB ITEX: ITEXMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 3:05 AM