MUSTAPA (kanan) menunjukkan buku Laporan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 2016/2017.Turut hadir Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim. FOTO Bernama
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MALAYSIA merekodkan pertumbuhan produktiviti buruh 3.5 peratus kepada RM78,218 pada 2016 berbanding RM75,548 pada 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pencapaian berkenaan adalah lebih baik berbanding purata pertumbuhan dua peratus setahun yang dicatatkan antara 2010-2015.

Beliau berkata, melalui prestasi tersebut Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan produktiviti buruh 3.7 peratus yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Setakat ini, Malaysia hanya mencapai 84.7 peratus sasaran RM92,300 yang ditetapkan di bawah RMK11 menjelang 2020.

"Antara dua sektor pemacu utama yang dilihat menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti 2016 ialah sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya pada pelancaran Laporan Produktiviti 2016/2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, dalam kalangan negara rantau Asia, Malaysia mendahului Thailand, China, Indonesia dan Filipina dari segi produktiviti setiap buruh yang digaji dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 2:07 PM