PANORAMA hijau juga antara kekuatan landskap di pesisiran air.
RUANG atau kafe yang dihiasi landskap unik.
AURA keindahan yang diserikan dengan elemen pokok teduhan, landskap kejur dan ruang santai.
PILIHAN tanaman dan keselesaan pengguna juga perlu diambil kira.
KEINDAHAN yang turut dilengkapi binaan mercu tanda tersendiri.
PELBAGAI idea diketengahkan sebagai tarikan pengunjung ke kawasan pesisiran air ini.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Keindahan dan keunikan seni bina landskap bukan saja melengkapkan penataan taman awam, komuniti di kawasan perumahan dan latar taman kediaman secara peribadi semata-mata, malah ia boleh diekspresikan di pesisiran air atau ‘waterfront.’

Idea reka bentuk landskap pesisiran air ini sudah lama dibangunkan dan berkembang di negara maju seperti Eropah yang secara tidak langsung menjadi tumpuan pelancong serta menjana ekonomi negara.

Pembangunan reka bentuk landskap persisiran air di negara kita juga semakin pesat berkembang.

Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai kawasan pantai dan muara sungai yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai pembangunan reka bentuk landskap pesisiran air.

Antaranya Pesisiran Air Kuching (Kuching Waterfront), pesisiran air Melaka, pesisiran air Kuantan, Pahang, pesisiran air Putrajaya dan pesisiran air Johor Bahru, Johor.

Selari dengan senario itu, penyelidikan dan kajian reka bentuk lestari bagi pembangunan landskap pesisiran air berwarisan ini dijalankan secara bersama antara Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Reka Bentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yazid Mohd Yunos dengan arkitek landskap sambilan dan pelajar pasca siswazah doktor falsafah (PhD) UPM, Mohd Amirul Hussain.

“Panorama alam semula jadi dan reka bentuk landskap buatan manusia sepanjang pesisiran air di Malaysia terutama ketika terbit dan terbenam matahari antara keistimewaan yang boleh kita nikmati di kawasan itu.

“Pada masa sama keunikan reka bentuk landskap itu berupaya menjadi destinasi pelancongan untuk aktiviti riadah dan kekeluargaan bagi pelbagai lapisan masyarakat terutama malam atau hujung minggu.

“Rata-rata tempat pelancongan di pesisiran air ini lebih ‘bersinergi’ dengan destinasi bersejarah, budaya tempatan, keunikan struktur binaan bangunan dan kepelbagaian aktiviti menarik yang masih mengekalkan adat serta ketulenan masyarakat tempatan.

“Umpamanya di sepanjang pembangunan reka bentuk landskap pesisiran air Melaka kita masih dapat melihat salah satu Tapak Warisan Dunia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang secara tidak langsung menjadi tarikan utama untuk pelancong dari dalam dan luar negara,” kata Dr Mohd Yazid.

Pelbagai aktiviti disatukan di dalam satu kawasan termasuk seni jalanan dan kewujudan kafe yang menghidangkan kulinari terbaik tempatan.

Secara tidak langsung membentuk karakter tempat berkenaan yang kaya dengan warisan sejarah tempat dan budayanya.

“Di sini kita dapat lihat begitu penting peranan arkitek landskap dalam menyusun atur dan mereka bentuk landskap yang mesra pengguna supaya memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Tidak terkecuali reka bentuk kaki lima yang mesra dan memanfaatkan pengguna khususnya orang kelainan upaya.

“Begitu juga dengan reka bentuk teduhan hendaklah lebih teratur dan bermanfaat ketika hujan atau terik mentari. Ini kerana rekaan sesuai mampu memberikan impak yang lebih besar,” kata Dr Mohd Yazid.

Malah, beliau tidak menafikan setiap arkitek landskap juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memanfaatkan keindahan reka bentuk landskap di pesisiran air dengan menitik beratkan faktor setempat, budaya, warisan dan ekspresi pengunjung terhadap keunikannya.

“Paling penting elemen utama landskap diketengahkan dalam membangunkan reka bentuk landskap unik, menarik dan berkarakter.

“Antaranya tumbuhan hijau, air pancuran, topografi tempat, susun atur kawasan aktiviti manusia, landskap kejur dan strukturnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 7:19 AM