RUSA panggang.
PASTA udang dan telur masin
CEF Ezwan Lee Shah bersama hidangan tapas rusa yang mendapat permintaan pelanggan.
SAIFUL bersama hidangan di Kafe Tovista Kl Gateway.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Menjejakkan kaki ke Kafe Tovista di KL Gateway bagai memasuki restoran mewah bertaraf lima bintang. Dekorasi dan susun atur perabot membuatkan pengunjung tenang dan selesa.

Melihat senarai menu pula, terdapat lebih 50 makanan Barat dan Melayu yang ditawarkan. Paling istimewa, Kafe Tovista turut menyediakan menu eksotik seperti daging rusa panggang, tapas rusa dan spageti rusa.

Pengurus Pemasarannya, Saiful Nizam Ismail berkata, itu antara keistimewaan di Kafe Tovista untuk mereka yang gemarkan hidangan eksotik dan Barat dengan harga berpatutan.

“Kafe ini baru beroperasi tiga bulan tetapi sambutan diterima di luar jangkaan terutama hujung minggu. Kami mendapatkan bekalan daging rusa segar dari Melaka, khusus untuk mereka yang gemarkan hidangan eksotik ini.

“Selain itu, kami juga menyediakan menu seperti tapas itik, spageti itik serta pasta udang dan telur masin yang turut mendapat permintaan tinggi pelanggan,” katanya.

Menurut Saiful, meskipun Kafe Tovista kelihatan seperti restoran mewah, harga menu dicaj masih berpatutan, malah pelanggan juga masih boleh menikmati hidangan secawan kopi dengan harga RM8.

“Saya percaya jika makanan yang dihidangkan enak serta menepati cita rasa pelanggan, mereka akan datang semula dan tidak kisah mengeluarkan wang untuk menikmati makanan kegemaran mereka. Sebab itu kami sangat menjaga kualiti serta bahan mentah yang digunakan.

“Dari situ pelanggan boleh merasai sendiri makanan yang dimasak menggunakan bahan segar dan terpilih,” katanya.

Selain itu, Kafe Tovista turut menyediakan menu seperti piza, burger, pasta, nasi ayam kampung, karbonara, ayam panggang, kek dan sebagainya. Tidak ketinggalan minuman butterscoth coffee latte yang turut menjadi ‘buruan’ pelanggan. Kafe ini menerima tempahan untuk majlis persendirian atau korporat yang boleh memuatkan 70 orang dalam satu masa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 12:07 AM