BEBERAPA peserta berentap di laluan denai hutan.
KEADAAN di laluan jambatan sempit.
PETUGAS KGC17 memberi air minuman kepada pelumba.
BEBERAPA peserta yang berjaya menamatkan kayuhan mengambil kesempatan bergambar kenangan.
TAMAT perlumbaan, peserta mengambil kesempatan untuk berehat secara santai.
SELESAI berlumba, peserta mengalas perut dengan hidangan yang disediakan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Tak kenal maka tak cinta, sudah kenal pasti terpesona. Itu keseronokan yang digambarkan apabila menyertai perlumbaan basikal lasak Klian Gunung Challenge 2017 (KGC17) di Batu Kurau, Perak baru-baru ini.

Berlatarkan kawasan hutan Kampung Klian Gunung, pesona perlumbaan cukup terasa kerana keadaan alamnya masih terpelihara tidak saja menjanjikan cabaran berbeza, sebaliknya menyajikan pemandangan mengasyikkan.

Biarpun ‘kaki’ konsisten mengerah kudrat untuk menjadi antara pelumba terbaik, pandangan serta hati cukup teruja melihat keindahan persekitaran yang mendamaikan serta menyejukkan mata.

Anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih, Batu Kurau dengan kerjasama Kelab Basikal Pendidikan Larut Matang dan Selama (EDURIDER), perlumbaan basikal lasak ini sejauh 37 kilometer (km).

Disertai 600 pelumba basikal lasak tempatan, perlumbaan bermula jam 8.30 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih yang dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias.

Cabaran membabitkan laluan berturap, mendaki Bukit Sumpitan dan melalui kawasan air terjun sebelum meredah kebun kelapa sawit yang berbukit, sempit serta curam selain kawasan sawah padi.

Biarpun agak lasak, keindahan panorama alam sepanjang perlumbaan membuatkan jarak 37 km tidak terasa apabila sudah sampai penamatnya.

Rata-rata peserta juga berpuas hati dan perlumbaan dianggap sebagai cara terbaik orang luar kawasan Batu Kurau menyelami tarikan alam di situ seterusnya menghargai keindahannya.

Pengerusi penganjur KGC17, Azharun Wanik yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih berkata, penganjuran perlumbaan itu bagi mengumpul dana tabung PIBG SK Sungai Jernih seterusnya membiayai program kecemerlangan murid.

Katanya, melihat potensi khazanah alam di Klian Gunung dan Ijok di Batu Kurau yang menarik peminat sukan berbasikal, tercetuslah idea penganjuran KGC17.

“Batu Kurau unik sebab tidak mengalami pembangunan pesat. Kebanyakan rupa buminya asli dan kekal terpelihara secara semula jadi.

“Oleh kerana tarikan alam inilah, kita adakan KGC17 dan dengan harapan ia juga dapat mengumpul dana tabung PIBG SK Sungai Jernih,” katanya.

Menurutnya, biarpun KGC17 kali pertama diadakan, sambutan peminat sukan basikal lasak sangat menggalakkan.

“Kita teruja kerana sambutan bukan saja daripada peserta sekitar Perak, sebaliknya ada datang dari Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis.

“Kita sangat berterima kasih atas sokongan peserta dan berharap program berbasikal seumpama ini mampu dikembangkan seterusnya dijadikan sebagai amalan sihat dalam kalangan anggota masyarakat,” katanya.

Menerusi Klian Gunung Challenge 2017 (KGC17), sebanyak sembilan kategori dipertandingkan membabitkan kategori Terbuka Lelaki Junior (19 tahun ke bawah), Terbuka Lelaki (20 hingga 34 tahun), Terbuka Lelaki Senior (35 hingga 45 tahun), Lelaki Veteran (46 tahun ke atas), Terbuka Wanita, Terbuka Fat Bike, Warga Pendidikan Senior (44 tahun ke bawah), Warga Pendidikan Veteran (45 tahun ke atas) dan kategori ‘heavyweight’ berat 90 kilogram (kg) ke atas.

Tempat pertama hingga kelima setiap kategori menerima hadiah wang tunai serta medal. Selain perlumbaan basikal lasak, turut diadakan gimik kayuhan basikal klasik oleh Kelab Basikal Tua Sungai Jernih dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lapan unit basikal bernilai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 12:12 AM