GELAGAT peserta yang menunggu pelepasan kayuhan.
BADUL HISHAM (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis pelepasan peserta.
AKSI peserta memulakan kayuhan.
KAYUHAN malam kini menjadi antara aktiviti sihat masyarakat.
SEBAHAGIAN daripada 1,000 peserta yang memberi sokongan.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Menikmati keindahan malam dengan berbasikal kini menjadi ‘trend’ bagi sebahagian peminat sukan berbasikal. Tarikannya bukan saja kerana kedinginan malam menjadikan kayuhan terasa lebih selesa, malah kerana suasana malam hari memberikan lebih ketenangan apabila beriadah.

Oleh kerana tarikan itu juga, seramai 1,000 peminat sukan berbasikal berhimpun di Menara Alor Setar bagi menjayakan kayuhan ‘Alor Setar Heritage City Night Ride 2017’.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Perancang Bandar Negeri Kedah (PlanMalaysia@Kedah) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), peserta dibawa ‘menjelajah’ Alor Setar bagi melihat keunikan bandar itu pada waktu malam.

Diadakan secara santai, kayuhan bermula jam 9 malam peserta dibawa menjelajah sejauh 30 kilometer (km) ke kawasan menarik sekitar Alor Setar yang juga dikenali sebagai ‘Bandaraya Warisan Dalam Taman’.

Biarpun hujan renyai-renyai, sedikit pun tidak merencatkan aktiviti kayuhan berkenaan sebaliknya rata-rata peserta dilihat tetap meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, penganjuran aktiviti itu bagi memperkenalkan Alor Setar baik kepada warga Kedah mahupun kepada penduduk luar negeri itu.

Katanya, penganjuran itu mendukung hasrat dan dasar kerajaan mewujudkan konsep ‘bandar sihat’ iaitu pembangunan seiring dengan keperluan penduduk.

“Harapan kita agar amalan gaya hidup sihat seumpama ini membantu menaikkan imej Bandaraya Alor Setar sebagai sebuah tempat yang bersih, aman dan sihat,” katanya.

Menurut Badrul Hisham, pihaknya berterima kasih atas sambutan dan sokongan peserta yang ada antaranya datang dari Perlis dan Pulau Pinang, selain turut disertai pelancong dari Eropah.

Sementara itu, peserta, Mohd Firdauz Samsudin, 35, dari Kuala Kedah berkata, kayuhan berkenaan memberi satu kepuasan kepada dirinya biarpun tidak dapat menghabiskan kayuhan mengikut laluan yang sudah ditetapkan.

Dia yang sudah empat tahun menyertai aktiviti kayuhan seperti itu mengakui nikmat berkayuh secara santai pada waktu malam berbeza dengan kayuhan pada waktu siang.

“Sejak empat tahun lalu saya menyertai aktiviti kayuhan seperti ini dan biarpun tidak dapat menamatkan kayuhan lengkap, tapi ia tetap memberikan satu kepuasan. Apatah lagi dapat bersuai kenal dengan peserta lain selain merapatkan hubungan dengan kenalan sedia ada dan dalam masa yang sama saya dapat menjalankan aktiviti riadah sihat ini,” katanya.

Pegawai Teknologi Maklumat (IT), Ummi Masturah Mohd Mokhtar, 32, yang menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan ke tempat kerja di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Alor Setar berkata, aktiviti berkenaan sekurang-kurangnya mencabar ketahanan dirinya untuk menjadi lebih aktif.

“Aktiviti berbasikal ini memang sudah menjadi rutin harian saya di mana setiap hari saya akan berkayuh sejauh tiga kilometer dari rumah di Tanjung Bendahara ke Jabatan Kesihatan Negeri. Sejak berbasikal setahun lalu, ia cara paling baik untuk saya mengekalkan stamina dan tahap kesihatan dan diharap ia menjadi amalan kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 2:38 AM