NUR Syahindah.
AKSI Nur Syahindah di padang.
AKSI Nur Syahindah di padang.
PASUKAN bola sepak wanita Kelantan Sri Sador Glow Glowing FC.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Bergiat aktif dalam sukan bola sepak dan berpakaian sukan Muslimah dengan bertudung, berseluar pendek labuh, ‘tight’ panjang dan ‘inner’ berlengan panjang menyebabkan Nur Syahindah Mohamad Kamal, 20, pernah menjadi perhatian netizen dan tular di laman sosial Facebook.

Penulis berpeluang menemu bual Nur Syahindah untuk berkongsi lebih lanjut mengenai hasratnya menjadi pemain bola sepak wanita bertaraf profesional dan ternyata gadis cantik kelahiran Kelantan ini sangat peramah orangnya.

Kata Nur Syahindah, dia mula menjadi bualan netizen dan digelar ‘Ronaldinho Kelate’ sejak memuat naik gambarnya beraksi di padang dengan berpakaian sukan Muslimah pasukan bola sepak wanita Kelantan Sri Sador Glow Glowing FC.

“Sebenarnya pembabitan saya dalam sukan ini bermula dengan bermain futsal pada usia 17 tahun. Kira-kira setahun saya bermain futsal sebagai aktiviti riadah bersama rakan sebelum mengambil keputusan menjalani sesi pemilihan bakat baru bagi pasukan bola sepak wanita Sri Sador Glow Glowing FC.

“Selepas menghadiri sesi pemilihan sebanyak tiga kali, saya tidak sangka terpilih bernaung di bawah Sri Sador Glow Glowing FC dan diletakkan dalam posisi pertahanan kiri untuk mewakili Kelantan sejak tahun lalu.

“Saya peminat tegar pasukan bola sepak Barcelona dan setiap kali perlawanan saya tidak melepaskan peluang menontonnya di televisyen untuk belajar teknik menggelecek serta menghantar bola.

“Oleh itu, saya tidak kekok beraksi di padang dan semakin bersemangat belajar lebih banyak teknik dengan pemain senior dalam pasukan selain menonton perlawanan video Barcelona untuk memantapkan prestasi di atas padang,” kata anak bongsu kembar daripada empat beradik ini.

Menurutnya, walaupun ada yang memperlekehkan kebolehannya untuk menjadi seorang pemain bola sepak wanita profesional, dia langsung tidak ambil hati dan lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuannya kepada mereka.

“Saya jadikan kata-kata negatif seperti perempuan lebih baik duduk di rumah belajar memasak sebagai pembakar semangat untuk membuktikan yang perempuan juga boleh bermain bola sepak dan bukan hanya dimonopoli lelaki,” katanya.

Ketika ditanya pengalaman pertama kali beraksi sebagai pemain bola sepak mewakili Kelantan, Nur Syahindah berkata perasaan gementar menguasai diri namun pada masa sama teruja untuk menguasai padang.

“Persiapan bukan saja dari segi fizikal malah mental juga memainkan peranan untuk menjadikan kita beraksi dengan baik di padang.

“Oleh itu, sejak awal lagi saya menjaga pemakanan, minum air secukupnya dan menjalani latihan setiap petang untuk memantapkan tahap stamina,” katanya.

Dia sangat bersyukur kerana ibu dan bapanya tidak menghalang minatnya menerusi sukan ini, malah sentiasa menemani ke setiap perlawanan.

“Memang impian agar pasukan saya boleh pergi jauh dan terpilih sebagai pemain Malaysia suatu hari nanti.

“Namun buat masa ini saya anggap sukan ini sebagai hobi kerana mahu fokus pada kuliah. Mungkin selepas tamat pengajian nanti, saya akan bekerja keras untuk merealisasikan impian itu.

“Sekarang ini pun saya perlu pandai bahagikan masa antara hobi dan pengajian. Saya masih komited dengan latihan dan perlawanan, jika tertinggal kuliah saya akan berjumpa dengan pensyarah untuk belajar secara peribadi,” katanya yang masih menuntut dalam bidang Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu, Kelantan.

Lebih menarik, gadis manis ini juga mengumpul barangan pasukan bola sepak kegemarannya seperti bola, baju dan banyak lagi selain tidak pernah terlepas menonton perlawanan membabitkan Barcelona secara langsung di televisyen.

“Jika dulu saya hanya penyokong biasa tetapi apabila sudah ceburi sukan ini saya mula minat mengumpul barangan Barcelona dan menjadikan pemainnya Ivan Rakitic yang juga pemain Croatia sebagai idola.

“Harapan saya menerusi sukan ini amatlah besar dengan menjadikannya sebagai kerjaya tetap dan akan berusaha menggilap bakat serta menguasai teknik untuk melayakkan diri terpilih menjadi pemain Malaysia suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 1:45 PM