AFIQAH Balqis dan Afiqah Maisarah bersama penghuni Rumah Bakti Al-Kausar.
AFIQAH Balqis bersama adiknya, Afiqah Maisarah.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Zahirnya dia nampak ceria, namun penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Afiqah Balqis Ramli, 16, mengakui masih bersedih setiap kali terkenangkan nasib diri yang terpaksa menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi tanpa ibu dan ayah di sisi.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, ayahnya meninggal dunia pada Februari 2012 akibat masalah jantung, kencing manis dan darah tinggi manakala ibunya pergi setahun kemudian berikutan komplikasi buah pinggang.

Kini, dia dan adiknya, Afiqah Maisarah , 13, berada di bawah pengurusan Rumah Bakti Al-Kausar di Bandar Baru Bangi manakala adik-beradik lain tinggal bersama keluarga terdekat.

“Saya dibesarkan nenek sehingga berumur enam tahun sebelum tinggal bersama arwah ibu dan ayah namun tidak lama kerana dihantar ke Rumah Bakti Al- Kausar lima tahun kemudian.

“Jadi, saya hanya sempat bermanja dengan ibu dan ayah selama empat tahun saja ketika tinggal bersama sebelum mereka meninggal dunia.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu malah memang sukar menerima kenyataan kerana terlalu sedih tetapi terpaksa melawan perasaan untuk meneruskan hidup lebih-lebih lagi apabila memikirkan adik yang masih kecil ketika itu,” katanya.

Afiqah berkata, walaupun tidak lagi berpeluang makan semeja dengan ibu dan ayah, dia bersyukur kerana masih ditemani penjaga serta rakan penghuni yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Malah, Afiqah rasa cukup bertuah kerana golongan anak yatim sepertinya mendapat perhatian ramai pihak lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini.

“Terharu apabila ada yang mengundang kami untuk menghadiri majlis berbuka puasa namun ia tidak bermakna kami suka dimanjakan sebaliknya saya dan rakan lain lebih suka berdikari dan belajar menguruskan diri sendiri.

“Kalau boleh, saya tidak mahu jadi orang yang suka meminta-minta tetapi berusaha keras jika mahu mendapatkan sesuatu.

“Cuma status sebagai anak yatim piatu menjadikan ramai yang bersimpati tetapi bukan semua kerana ada juga peristiwa membuatkan saya berkecil hati apabila dipandang sinis oleh seseorang ketika menerima sumbangan daripada dermawan tidak lama dulu ,” katanya.

Seperti remaja lain, Afiqah juga mempunyai impian dan antaranya membuka spa dengan hasil titik peluh sendiri satu hari nanti.

Bukan untuk kelangsungan hidup semata-mata tetapi demi membuktikan kepada masyarakat golongan sepertinya juga mampu berjaya.

“Sepanjang bergelar anak yatim piatu, saya banyak belajar perkara baru termasuk untuk menguruskan diri dan adik yang tinggal bersama.

“Ilmu dan pengalaman itu cukup berharga dan diharap ia membantu saya apabila memulakan hidup baru selepas keluar dari pusat jagaan nanti, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 3:57 AM