PENYOKONG Hassan bergambar ketika menunggu giliran mengundi di Teheran. - EPA
Reuters

Teheran: Rakyat Iran semalam mengundi dalam pilihan raya bagi menentukan pilihan presiden antara Hassan Rouhani, penyandang yang mahu menjalinkan hubungan normal dengan Barat dan pencabar populis yang disokong kuat badan ulama dunia.

“Semua orang perlu mengundi dalam pilihan raya penting ini. Nasib negara dalam tangan kamu,” kata Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Sementara itu, Hassan menggesa agensi keselamatan elit Iran, Pengawal Revolusi, yang dipercayai menyokong lawannya Ebrahim Raisi, supaya tidak mencampuri pilihan raya itu.

Ini susulan golongan itu dan militia Basij yang dikawal mereka memalsukan keputusan undian untuk menaikkan pemimpin haluan kanan, Mahmoud Ahmadinejad pada 2009 yang membawa kepada bantahan selama lapan bulan yang turut melihat ratusan ditangkap dan puluhan maut serta digambarkan kemelut politik paling buruk dihadapi republik Islam itu.

Kira-kira 350,000 anggota keselamatan dikerahkan di seluruh negara untuk mengawal keselamatan.

Undian secara rasmi ditutup pada jam 6 petang (waktu tempatan) tetapi dilanjutkan dua jam disebabkan jumlah pengundi yang ramai. Iran mempunyai 56.4 juta pengundi layak.

Kiraan undi akan dimulakan pada jam 12 tengah malam sebelum keputusan akhir diumumkan dalam tempoh 24 jam, kata agensi berita Fars.

“Saya mengundi Hassan kerana sukakan dasarnya. Dia bukan reformis tetapi saya tidak peduli. Apa yang penting dia bukan Ebrahim,” kata pekerja awam, Yousef Ghaemi, 43, menerusi satu panggilan telefon dari bandar Kermanshah.

Peniaga dari bandar Mashhad, Mehran Fardoust, 36, pula berkata: “Saya sudah mengundi Ebrahim kerana dia pengikut Imam Khamenei. Dia tidak akan membelakangi Khamenei jika dipilih, malah akan melindungi identiti Islam kita.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 1:50 AM