ANGGOTA bomba memeriksa tingkat pertengahan bangunan Grenfell Tower yang musnah dalam kebakaran 14 Jun lalu. -AFP
Agensi

London:Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah blok kediaman di bandar ini awal minggu lalu, kata polis semalam.

Jika jumlah itu disahkan, ia akan menjadikan tragedi Grenfell Tower kebakaran yang paling buruk di London sejak Perang Dunia Kedua.

“Kami dimaklumkan 58 orang yang berada di Grenfell Tower pada malam kejadian masih hilang dan kerana itu, saya dengan sedihnya menganggarkan mereka mati,” kata pegawai kanan polis, Stuart Cundy kepada wartawan.

Dia bagaimanapun berkata, angka itu boleh berubah.

Polis sebelum ini berkata, 30 orang mati dalam kejadian itu.

“Angka 30 yang saya katakan sebelum ini ialah jumlah yang saya tahu mungkin terbunuh. Jumlah 58 itu, termasuk 30 orang itu,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Perdana Menteri Theresa May berusaha untuk meredakan kemarahan orang ramai berkait dengan kebakaran itu dengan berikrar akan membantu mangsa kejadian selepas penunjuk perasaan mengejeknya ketika dia melawat tempat kejadian.

Theresa dibawa keluar dari satu mesyuarat dengan penduduk Jumaat lalu dengan kawalan ketat polis selepas penunjuk perasaan mengejeknya sementara ratusan lagi menyerbu sebuah dewan majlis perbandaran tempatan bagi menuntut keadilan.

Selepas parti yang diketuainya gagal mempertahankan majoriti di Parlimen dalam pilihan raya umum, Theresa kini berdepan dengan kecaman kerana bertindak lambat terhadap kebakaran yang memusnahkan blok kediaman 24 tingkat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 8:57 AM