GAMBAR diambil daripada akaun Facebook Dita. - Agensi

Jakarta: Seorang wanita memuat naik hasil usaha suaminya hasil usaha suaminya berhenti merokok apabila wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli produk tembakau berkenaan disimpan sehingga mampu membeli motosikal secara tunai.

Dalam kisah yang tular di media sosial, wanita bernama Dita Sari Wootekh itu berkata di Facebook, suaminya mula berusaha menghentikan tabiat itu sejak November 2015.

“Sejujurnya saya ketika itu juga tidak yakin dia mampu berbuat demikian, namun tetap memberi sokongan.

“Dia memilih sendiri berbuat demikian, bukan kerana dipaksa atau dilarang sesiapa. Alasannya kerana mahu hidup sihat.

“Untuk menunjukkan komitmennya, suami saya mengubah bekas akuarium di rumah kami untuk menjadi tabung yang dilabel ‘Power of 20,000’.

“Setiap hari dia memasukkan 20,000 rupiah (RM6.40) iaitu jumlah sepatutnya dibayar untuk rokok. Dan selepas setahun setengah, dia melihat isi ‘tabung’ itu - tidak perlu dinyatakan jumlah dikumpulkan, tetapi cukuplah untuk membeli sebuah motosikal,” katanya.

Dita berkata, dia berkongsikan kisah itu sebagai dorongan dan inspirasi untuk orang lain yang mahu menghentikan tabiat merokok.

Kisahnya juga diterima positif pengguna Internet malah sudah dikongsikan 70,000 kali di Facebook.

Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS) 2014, perbelanjaan isi rumah masyarakat Indonesia memang sebahagian besar dihabiskan untuk makanan dan rokok.

Perbelanjaan isi rumah untuk rokok dianggarkan berjumlah 50,000 rupiah (RM16 sebulan). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:46 AM