SEMAKIN ramai rakyat China alami masalah kemurungan khususnya di bandar besar.
KERRY Yang akhirnya berani bercerita mengenai masalah kemurungan yang dihadapinya.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Sukar untuk sesiapa pun juga membuka mulut bercerita mengenai kemuru­ngan yang dialami. Namun Kerry Yang memberanikan diri mendedahkan masalahnya kepada orang dari negara luar dia pernah memukul dirinya sendiri dalam usaha mengatasi kemurungan.

Namun pegawai perhubungan awam berusia 30 tahun yang bekerja di Beijing itu tidak dapat berkongsi masalahnya dengan rakan mahupun keluarga sendiri.

“Ada pepatah Cina mengatakan, ‘jika anda menampakkan emosi bermakna anda menunjukkan kelemahan diri,’” kata Yang.

Di China, selama ini kemurungan tidak dianggap sebagai satu masalah kesihatan sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini apabila kerajaan negara itu akhirnya menggubal undang-undang kesihatan mental yang pertama lima tahun lalu.

Bagaimanapun, masyarakat China menganggap gejala seperti keresahan, tidak boleh tidur atau hilang selera makan sebagai tanda kemurungan adalah masalah fizikal terpencil dan bukannya tanda gang­guan mental.

Keluarga di China diketahui mengurung ahli keluarga yang sakit mental atau mengikatnya kerana tidak dapat atau tidak mahu mendapatkan bantuan. Kes pembunuhan individu terkenal yang dilakukan ahli keluarga yang sakit mental menunjukkan perlunya perkhidmatan rawatan untuk kesihatan mental.

“Halangan utama ada dua iaitu pertama, ia tidak diakui dan kedua, dianggap masalah peribadi yang mesti diatasi sendiri,” kata pensyarah psikiatri di Pusat Pengajian Perubatan Universiti Jiao Thong di Shanghai dan Universiti Emory di Amerika Syarikat, Michael Phillips.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 50 juta penduduk China mengalami kemurungan, yang menjadikan masalah ini sebagai isu besar tahun ini. Selain memberi kesan kepada pesakit, dianggarkan China mengalami kerugian RM34.7 bilion kerana tidak datang kerja, kos rawatan perubatan dan lain-lain yang disebabkan kemurungan, kata wakil WHO di China, Bernhard Schwartlander.

Undang-undang Kesihatan Mental China 2012, mengambil masa hampir tiga dekad untuk menjadi kenyataan. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Phillips dan rakan pada 2009, sebelum ini lebih 90 peratus golongan yang mengalami masalah mental tidak pernah mendapatkan bantuan profesional.

Dalam undang-undang ini, skizofrenia dan masalah psikologi lain dikemukakan dengan memperluaskan rawatan ke luar hospital termasuk perkhidmatan berasaskan komuniti dan menggalakkan penyelidikan saintifik. Kini semakin banyak kesedaran mengenai masalah mental yang boleh menjadi beban ma­syarakat seperti penyakit kronik lain seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi, kata Phillips.

Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Nasional, pada penghujung tahun lalu, 5.4 juta penduduk China didaftarkan menghidap masalah kesihatan mental yang serius dan kualiti rawatan yang ditawarkan dikatakan ‘bertambah baik’.

ISU PENTING DI BANDAR BESAR

Dalam kes Kerry Yang, beberapa tahun pertama di kolej dia mengalami masalah sukar mengawal emosi, kerap menangis, resah dan ada masanya tidak mahu meninggalkan katilnya. Masalah percintaan menambahkan tekanan perasaannya. Walaupun keputusan peperiksaannya cemerlang, baginya ia masih tidak cukup baik.

Yang masih ingat bagaimana dia sering menumbuk dadanya setiap kali ada masalah sehing­ga badannya lebam. Anehnya, tindakan mencederakan diri sendiri ini tidak menyebabkan Yang berasa sakit sebaliknya lebam di badannya itu membuatkan dia lega kerana dapat melepaskan perasaan.

Akhirnya, lima tahun lalu Yang memberanikan diri mendapatkan rawatan dengan mengunjungi dua hospital awam. Oleh kerana bantuan yang diterima tidak seperti diharap, Yang menemui kaunselor di hospital swasta pula.

“Sebenarnya susah untuk saya meluahkan masalah ini dalam bahasa ibunda,” katanya.

Walaupun terkejut dan bingung dengan masalah Yang, ibu bapanya tetap memberikan sokongan. Ibunya tidak tahu pun masalah kemurungan ini wujud sementara bapanya pula tidak tahu bagaimana hendak membantu Yang.

Hanya selepas melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di Australia barulah Yang mendapatkan bantuan. Dia kembali ke Beijing tiga tahun lalu dan meneruskan rawatan susulan dengan pakar psikoterapi berketurunan Cina-Australia, Sami Wong selepas kemurungan kembali menyerang. Dalam rawatan itu mereka bertutur dalam bahasa Inggeris.

Walaupun ada perkembangan yang baik, masalah kesihatan mental masih menjadi isu terutama di bandar besar seperti Beijing dan Shanghai. Menurut suruhanjaya kesihatan, di seluruh China, ada 27,333 pakar psikiatri atau dua pakar untuk setiap 100,000 penduduk berbanding lima atau lebih pakar bagi setiap 100,000 penduduk di Amerika Syarikat dan Russia.

Kekurangan kakitangan kesihatan terlatih ini sangat meruncing di kawasan luar bandar, kata pakar psikiatri di Wilayah Hebei, Zhang Yunshu.

Untuk mengisi kekosongan ini, kerajaan China menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil jurusan ini dan menghantar pakar psikiatri ke kawasan pedalaman untuk melatih doktor perubatan mengenai penjagaan psikiatri yang asas.

Menurut Sami Wong, berdasarkan pengalamannya, dia melihat perbezaan besar antara generasi dulu dan sekarang. Generasi dulu seperti ibu Yang, yang hidup dalam zaman susah menganggap kemurungan bukanlah satu perkara besar jika hendak dibandingkan dengan ketakutan terhadap pelbagai ancaman.

Untuk menangani isu ini, WHO mengadakan kempen kesedaran me­ngenai kemurungan bagi mengatasi stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental.

“China mesti memperluaskan perkhidmatan rawatan kesihatan mental khususnya kemurungan supaya pesakit boleh meluahkan masalah mereka. Jika tidak, ia akan jadi seperti membuka luka dan orang akan jadi lebih terdesak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:07 PM