KEMBALI digemari bantu ringankan badan, lancar perjalanan darah dan haid.

Siapa tidak mahu cantik dan sihat? Dua ciri ini sentiasa menjadi idaman semua orang terutama apabila usia semakin meningkat. Kecantikan akan hilang nilainya jika diri dimamah penyakit.

Bagaimanapun, bukanlah bermakna individu yang sakit tidak boleh tampil cantik, cuma penyakit itu secara tidak langsung akan meragut seri wajah seseorang.

Untuk tampil cantik dan sihat, mengamalkan kaedah penjagaan tradisional adalah antara langkah yang baik kerana ia tidak menggunakan bahan terlarang atau yang mendatangkan risiko kepada kesihatan dan kecantikan.

Suatu ketika dulu, amalan bertungku dan bertangas menjadi rutin wanita, tidak kira anak dara atau sudah berkahwin untuk menjaga kesihatan dalaman, sekali gus memancarkan kecantikan luaran.

Kedua-dua amalan ini diakui memberi kesan mujarab kepada kesihatan wanita, lebih-lebih lagi jika mereka berdepan masalah seperti keputihan, angin, rahim longgar dan kegemukan.

Apabila melakukan rawatan berkenaan, ia membantu meringankan badan, melancarkan perjalanan darah dan haid serta pelbagai lagi yang saling berkaitan.

Kini, amalan tradisional ini kembali digemari tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul supaya kesannya lebih ketara dan dapat dirasai segera.

TERBAIK UNTUK TUBUH

Pemilik Spa Mawar Putih Ruzita Jamaluddin berkata, sebaik-baiknya bertungku dilakukan menggunakan batu sungai berbanding peralatan moden yang banyak dijual di pasaran.

Menurutnya, batu sungai mempunyai banyak kelebihan kerana ia dapat memberi kehangatan berpanjangan apabila dituam pada badan dan panas berkenaan meresap hingga ke dalam tubuh.

“Ditambah pula daun herba yang dibalut bersama batu sungai itu, secara tidak langsung kebaikan daun berkenaan meresap ke dalam tubuh.

“Antara daun digunakan untuk bertungku adalah mengkudu, sirih atau kaduk, lemuni dan pandan. Semua daun ini agen pemecah angin dan lemak,” katanya yang turut menawarkan rawatan bertungku serta bertangas dan pelbagai rawatan lain di spanya di Puchong, Selangor.

Ruzita berkata, demi memastikan kehangatan batu sungai itu berpanjangan, seelok-eloknya ia dipanaskan di atas api kecil selama sejam. Jika dipanaskan dengan api yang besar, kehangatannya tidak bertahan lama dan boleh menjadikan batu itu cepat pecah.

“Ramai juga beranggapan wanita dibedah ketika bersalin tidak sesuai melakukan amalan bertungku, tetapi sebenarnya ia dapat menghapuskan bisa badan dan memecahkan angin dengan melakukan teknik yang betul.

“Selain itu, ia dapat mengeluarkan saki-baki darah kotor, mengecutkan dan memulihkan rahim serta urat saraf di sekeliling peranakan dan mengembalikan tenaga,” katanya.

Menurutnya, waktu bertungku berbeza bagi wanita bujang dan selepas bersalin kerana keadaan fizikal tidak sama.

“Wanita bersalin seelok-eloknya bertungku dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Ia juga dikatakan dapat mengelak tubuh wanita daripada menggeleber.

“Walaupun banyak peralatan bertungku yang mudah diperoleh di pasaran, sebenarnya ia tidak begitu membantu terutama kepada wanita selepas bersalin untuk menaikkan kembali peranakan yang jatuh,” ujarnya.

ATASI MASALAH FARAJ

Ramai yang mengaitkan amalan bertangas hanya untuk wanita selepas bersalin. Fakta itu ternyata tidak tepat.

Ruzita berkata, bertangas ternyata baik untuk wanita bujang yang mungkin mengalami masalah kegatalan faraj dan sebagainya.

“Ada dua jenis bertangas iaitu tangas kering dan basah yang kelebihannya sama tetapi keselesaannya berbeza mengikut pilihan individu berkenaan.

“Cara bertangas kering adalah menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama satu jam di atas api kecil dan diletakkan serbuk tangas diperbuat daripada herba terpilih.

“Asapnya akan naik dan membantu mengetatkan rahim. Ramai yang menggemari tangas kering ini kerana ia ringkas dan tidak terlalu merimaskan bagi yang tidak tahan kepada kepanasan,” katanya.

Sementara itu, Ruzita berkata, berbeza dengan tangas basah, kehangatannya lebih dirasai seolah-olah sedang bersauna kerana ia menggunakan air panas yang dididih bersama daun herba terpilih.

“Bertangas digalakkan untuk dilakukan dalam tempoh 20 minit saja kerana ia sudah memadai. Wanita bujang digalakkan melakukan dua kali sebulan dan boleh merasai perubahannya.

“Jangan sesekali bertangas menggunakan siraman cuka pada batu sungai kerana ia menipiskan dinding rahim. Bagi yang ingin melakukan bertangas di rumah, amat digalakkan dan tidak semestinya di spa saja,” katanya.

Kata Ruzita, dia menawarkan semua jenis rawatan bertangas serta bertungku di spanya yang dilakukan juruterapi bertauliah bagi memastikan rawatan dilakukan dengan betul. -Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:31 PM