ANTARA rekaan kasut yang selesa dipakai.
ANTARA rekaan kasut yang selesa dipakai.
ANTARA rekaan kasut yang selesa dipakai.
ANTARA rekaan kasut yang selesa dipakai.
BURHANUDIN dibantu isteri menguruskan tempahan kasut.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Cara memilih kasut bersesuaian dengan bentuk kaki amat penting bagi memperlihatkan keserasian dan kesempurnaan sepatu yang dipakai.

Kini, kasut tidak hanya berfungsi sebagai alas kaki, sebaliknya menjadi pelengkap fesyen supaya gaya si pemakainya semakin menarik.

Kasut melambangkan imej seseorang, malah mereka yang biasa memakai kasut nampak lebih kemas dan profesional. Namun, pemilihan kasut yang salah menyebabkan wanita tidak selesa berfesyen dengan baik.

Justeru, pengasas butik kasut Ijmal, Mohd Burhanudin Yusof, 29, fokus menghasilkan rekaan kasut untuk wanita bekerja dan kerap mengembara kerana golongan ini paling banyak menggunakan kasut berbanding selipar.

Malah, menyedari ramai wanita mempunyai masalah sakit kaki dan lenguh tumit apabila banyak berjalan, bekas jurutera ini terpanggil untuk menghasilkan rekaan kasut bagi menyelesaikan masalah mereka.

Bapa seorang cahaya mata ini berkata, idea untuk menjual kasut secara dalam talian bertitik tolak daripada pembelian beberapa kasut di luar negara dan kemudian memasarkannya di media sosial.

Hasil daripada sewtiap unit yang terjual itu, katanya, disimpan untuk membeli dan menambah stok manakala keuntungan tidak diusik untuk kegunaan peribadi.

“Lama-kelamaan kasut mendapat permintaan tinggi dan saya terus berbincang dengan pembekal di luar negara untuk menghasilkan jenama Ijmal yang dijual secara dalam talian sepenuhnya di Instagram Ijmal Malaysia dan Facebook Ijmal serta laman web.

“Fokus kami adalah memudahkan wanita membeli secara dalam talian dan memberi keselesaan kepada wanita berkerjaya dan banyak berjalan,” katanya yang mengusahakan jenama itu bersama isterinya di Senai, Johor.

Material tahan lasak

Antara ciri pada koleksi itu ialah tapak dalam kasut direka khas untuk menyokong tumit wanita daripada lenguh apabila berjalan terlalu lama selain strukturnya ringan, sangat digemari wanita masa kini yang banyak berjalan.

Sehingga kini kasut jenama itu banyak mendapat permintaan daripada mereka yang bekerja dan menggunakan kasut dalam jangka masa lama. Selain itu, ia turut menjadi pilihan pelanggan untuk melancong ke luar negara kerana keselesaannya untuk mengembara.

Setakat ini, koleksi itu mempunyai dua rekaan utama iaitu kasut jenis rata dan sedikit bertumit. Rekaan jenis rata direka untuk mudah disarung dan senang ke tempat kerja.

Rekaan sedikit bertumit pula khusus untuk mereka yang banyak berjalan dan mengembara yang dicipta bertutup sepenuhnya bagi memberi keselesaan dan perlindungan kepada kaki sepenuhnya daripada bahaya luar.

Menariknya, material digunakan 100 peratus daripada kulit lembu yang terkenal tahan lasak berbanding material PU yang cepat rosak.

Tapak kasut daripada getah asli mengelakkan kasut Ijmal mudah patah dan merekah. Bahagian dalam kasut diperbuat daripada getah latex yang banyak digunakan dalam industri tilam dan bantal yang memberi keselesaan kepada wanita seperti berjalan di atas awan.

“Koleksi kami bermula pada 2015 dan sehingga kini sudah ada permintaan pelanggan luar negara terutama dari jiran terdekat, Indonesia dan Singapura.

“Namun, fokus kami buat masa ini adalah untuk pasaran tempatan terutama wanita bekerja manakala pasaran global pula untuk perancangan masa depan.

“Kami berhasrat untuk menghasilkan lebih rekaan yang memberikan keselesaan dan membantu orang ramai mendapatkan kasut yang sesuai,” katanya sambil menambah, harga kasut bermula daripada RM150 dengan pilihan 12 warna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:35 AM